08 March 2009

Watak dunia yang menunggu Penyelamat ... siri 2


Berlakunya peristiwa-peristiwa ganjil dan aneh


Sewaktu Rasulullah SAW dilahirkan, ada banyak perkara aneh berlaku. Nampak tidak munasabah tetapi tetap terjadi. Antaranya api yang disembah lebih 1000 tahun oleh orang-orang Majusi, yang tidak pernah padam, tiba-tiba padam dengan sendirinya.Tiang-tiang istana kaisar Rom yang gagah dan mantap yang diperbuat daripada marmar, tiba-tiba runtuh. Tiada ribut, tiada petir, tetapi dalam keadaan aman damai tiba-tiba tiang tersebut runtuh.

Sewaktu Rasulullah dalam perjalanan ke Syam untuk berniaga, di pertengahan jalan, seorang pendeta dari ahli Kitab telah melihat tanda-tanda kenabian yang ada padanya dengan berlakunya peristiwa aneh pada diri baginda Nabi. Antara peristiwa aneh itu ialah pokok bergerak mengikut Rasulullah, awan yang sentiasa mengikutinya dan melindunginya dari terik matahari, batu yang boleh bercakap dan sebagainya. Peristiwa-peristiwa itu juga merupakan tanda-tanda telah hampir munculnya seorang pemimpin pembawa kebenaran.

Inilah sebahagian peristiwa di luar logik dan langsung tidak ada campur tangan manusia. Ada dua hikmah yang terbesar di sini. Allah hendak memperlihatkan kepada manusia yang tidak percaya kepada kuasa Allah tetapi yakin dengan kuasa dan kepandaiannya sendiri. Jika Allah hendak tunjukkan kepada manusia, Allah boleh membuat sesuatu tanpa logik, yang tidak boleh dirasionalkan oleh akal tetapi tetap terjadi. Kalau kita baca sejarah sejak nabi-nabi dahulu hingga pada zaman Rasulullah dan zaman selepasnya, Allah tidak akan lakukan perkara-perkara yang pelik-pelik, yang ajaib, di luar logik akal, kalau tidak ada kebenaran yang hendak ditonjolkan selepas itu.

Yang sebenarnya banyak berlaku, kebenaran yang dicetuskan oleh usaha manusia di bumi ini telah ditolak. Walaupun kebenaran itu diakui oleh hati kecil seseorang tetapi mulutnya tetap menolak. Jadi peristiwa aneh, ganjil dan di luar logik akal manusia diwujudkan oleh Allah sebagai membenarkan kebenaran yang dibawa oleh ‘orang-orangNya’ di muka bumi ini. Moga-moga dengan peristiwa ini, manusia kembali bertaubat dan kembali kepada Allah. Kalaulah akhbar-akhbar di bumi sudah membohongkan kebenaran, jadi Allah cetuskan ‘akhbar-akhbar’ di langit tanpa ada campurtangan manusia. Kalaulah manusia tetap menolak kebenaran itu, memang tidak ada rezeki mereka. Malah mereka sengaja menolak kebenaran sepertimana yang berlaku di zaman Rasulullah. Tegasnya, berlaku peristiwa-peristiwa tersebut bukanlah suatu perkara kebetulan tetapi adalah satu proses perubahan yang menjanjikan akan munculnya suatu kebenaran yang telah dijanjikan hadis.

Tok Malau.. ayuh mari menyiapkan diri dengan Iman dan Taqwa...
Iman ditingkatkan...Taqwa diperhebatkan ... Kasih sayang disemarakkan

No comments:

Post a Comment