30 April 2009

MENCARI KETENANGAN HATI ATAU JIWA


Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai. Dari sanalah ia menentukan sikap manusia samada positif atau negatif.

Memang hakikat pencipaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had. Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat. Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak. Itulah dia hati manusia. Ia juga disebut roh. Tempatnya ialah di dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati boleh baik dan jahat.

* Rasa senang apabila ia dipuji.
* Rasa menderita apabila di keji.
* Rasa riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan.
* Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan.
* Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan.
* Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekayaan.
* Rasa tidak senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih.
* Rasa dendam apabila orang menganiayainya.
* Simpati dengan orang susah.
* Rasa keluh kesah apabila dapat susah.
* Rasa terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong.
* Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.
* Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.

Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia. Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia. Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya. Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia. Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati. Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat dunia dan akhirat. Hati boleh dididik.

Lihat apa kata Allah tentang hati.

Firman Allah:

"Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya." (Asy - Syams: 9)

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang." (Al - Ala: 14 - 15)

"Pada hari itu, tidak berguna lagi harta anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat." (Asy - Syuara: 88-89)

Di antara Sebab Jiwa Tidak Tenang

1. Banyak menzalimi orang
2. Banyak membuat dosa
3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa
4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan Akhirat
5. Tidak percaya wujudnya Allah Taala
6. Tidak mengharap lagi pertolongan Allah
7. Orang yang kena uji bila imannya lemah atau tidak beriman

Ketenangan itu berpusat atau berpaksi di dalam hati nurani. Ia perlu dijaga, kerana bila hilang ketenangan, hilanglah kebahagiaan. Bila hilang kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, duduk di dalam istana yang indah, memiliki isteri yang cantik, ada kuasa.

Bila ketenangan tidak ada, sentiasa keluh-kesah, apa sahaja dibuat serba tidak kena, makan rasa tidak sedap, tidur tidak lena, membuat sesuatu perkara tidak ada penumpuan lagi, selalu sahaja termenung, orang bercakap kurang diambil perhatian, sumbang di dalam pergaulan, membaca mengganggu untuk memahami, kawan-kawan ikut risau, mudah marah-marah, suka bersendiri, mudah merajuk, mudah tersinggung, tidak tahan sabar, tidak tahan tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab, tidak suka bercakap.

Orang yang berada di dalam tidak ketenangan, jika ketidaktenangan itu kuat dan kurang pula pelajaran selalunya tidak boleh dikontrol rasa tidak tenang itu, sama ada di waktu ramai mahupun di waktu keseorangan, sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara, orang ramai perasan.

Jika dia seorang cerdik dan pandai atau ada status di dalam masyarakat mungkin setengah orang dia boleh kontrol. Di tengah ramai dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tapi bila waktu keseorangan dia mulalah termenung. Kesusahan hatinya nampak dilihat di air mukanya. Ada setengah orang mukanya cantik, orangnya periang, happy go lucky, ada kalanya susah juga dikesan. Tapi kalau dia tidak boleh kontrol, lihat muka dapat dikesan. Maka seorang yang periang tiba-tiba jadi pendiam, hilang riang, suka bersendiri, gurauan sudah tidak ada, anak isteri mula risau, kawan-kawan susah hati.
Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, keluar daripada menzalimi dan memohon maaf kepada orang yang kita zalimi itu. Tinggalkan membuat dosa kemudian kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. Insya-Allah ketidaktenangan akan hilang.

Tok Malau ... " Ya Allah tetapkan hati kami dalam ketaatan dan agamaMu"

28 April 2009

APABILA PEMIMIPIN TIDAK MEMIMPIN


Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah "Pemerintahan ". Ada yang menggunakan istilah "Kekuasaan" Ada pula yang menggunakan istilah "Pentadbiran "seperti Pentadbiran Carter (Carter Administration) dan sebagainya.

Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka "Presiden" Ada yang menggelarkan diri mereka "Raja" . Ada “Perdana Menteri” . "Chairman" dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan yang seumpamanya. Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.

Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya.

Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.

Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup. Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka.

Memimpin itu ialah membangunkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Iaitu membangunkan fizikal mereka, membina akal mereka, mendidik hati dan nafsu mereka. Memimpin adalah memperkenalkan rakyat kepada Tuhan agar Tuhan itu diimani dan diyakini, dicintai dan ditakuti. Agar Tuhan itu ditaati dan dipatuhi.

Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin. Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin.

Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material. Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat pun sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang. Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.

Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan. Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati mereka. Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat.

Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal. Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi. Sudah ada sepuluh buah rumah “mansion”, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu “luxury yacht” Nampak ruang udara mahu “private jet”. Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan mereka.

Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta. Sukar untuk mereka merasa bertuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.

Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi pemburu dunia. Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk masing-masing.

Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang akan jadi begini. Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapakah yang akan memberi tunjuk ajar. Siapakah yang akan melarang. Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya. Sukar untuk diubah.

Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan.
Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia. Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai. Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh.

Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi. Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan.

Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan. Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketagwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak.

Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia. Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan. Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat.

Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalak dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Yang menggalakkan rakyat berfoya-foya dan berlalai-lalai. Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan. Yang menyusahkan urusan agama manusia. Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawah pemerintahan pemimpin yang seperti ini.

Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat. Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat. Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama.

Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat. Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani. Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci-membenci. Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera. Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin. Mensejahterakan dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah semulajadi mereka yang suci murni. Inilah caranya pemimpin boleh memandu negara menjadi seperti apa yang Tuhan firmankan:
"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba': 15)

Tok Malau ... carilah pemimpin yang sejati ... pemimpin kebenaran yang menzahirkan kebenaran ... bukan sekadar memperkatakan kebenaran tetapi mempraktikkan kebenaran
( islam ) pada diri , keluarga , masyarakat , jemaah dan ummah.

27 April 2009

SKETSA KASIH SAYANG


“Mamat, Mamat!” jerit Mak Mah.

Hampir lima atau enam kali Mak Mak memanggil nama Mamat tetapi Mamat tak muncul-muncul juga.

“Mana pulaklah budak ni,” bisik hati Mak Mah.

Nampaknya Mak Mah terpaksa melakukan kerja-kerja di rumah sendirian. Mamat sudah hilang entah ke mana.

Begitulah nasib Mak Mah. Suaminya baru sahaja meninggal dunia beberapa minggu lalu. Dia terpaksa mengharapkan anaknya Mamat untuk membantu kerja-kerjanya di rumah kerana dia sendiri tidak sihat.

Di pinggir sebatang sungai di hujung kampung, Mamat membaling-baling batu yang baharu dipungutnya ke dalam sungai. “Ha, kali ini batu aku lagi jauh!” Mamat menjerit kepada kawannya, Samad.

“Mana pulak! Batu yang aku baling tadi lagi jauh. Engkau salah tengoklah Mamat.”

“Engkau ni asyik nak menang saja. Bila aku menang pun engkau tak mahu mengaku,” jawab Mamat pula.

Mamat dan Samad terus bertelagah sehinggalah kedua mereka hilang sabar. Seperti dirasuk syaitan, Mamat bergelut dengan Samad walhal perkara yang diselisihkan hanyalah soal yang sangat kecil sahaja. Mamat menarik baju Samad sehingga terkoyak, dan Samad pula membalas dengan menarik bag yang sedang disandang oleh Mamat. Bag itu lantas dicampaknya ke dalam sungai yang sedang deras mengalir.

“Ya Allah, beg emak aku dah hanyut!” jerit Mamat.

“Samad, tengok apa yang engkau dah buat ni. Itu beg mak akulah. Ada duit dalam tu tau. Itulah duit untuk kami dua beranak nak makan seminggu ini. Kau kan tahu kami ni orang miskin. Sekarang apa yang kami nak makan?”

“Ya ke? Manalah aku tahu. Itulah engkau cepat sangat panas baran. Yang engkau tarik baju aku hingga koyak tu apa pasal?”

“Engkau yang tak berhati perut. Sekarang tengok apa dah jadi. Mesti mak aku marah nanti,” jawab Mamat tak mahu mengalah.

Kebetulan, seorang nenek sedang berjalan di tepi sungai itu. Dia memerhatikan gelagat Mamat dan Samad sejak tadi lagi. Nenek itu menghampiri mereka berdua untuk memberikan sedikit nasihat.

“Nak, tak elok bergaduh macam ni. Bila kita bergaduh, bermakna kita tidak mendapat kasih sayang Tuhan. Bila Tuhan tak sayang, tentulah banyak masalah yang akan menimpa kita. Buktinya, baju anak yang ini dah koyak, anak yang ini pula sudah kehilangan bag milik maknya. Sudah tentu bila balik nanti, masing-masing akan dimarahi pula oleh emak masing-masing."

" Sebaliknya, kalau kita berbaik-baik dan berkasih sayang dan tinggalkan pergaduhan dan pertelagahan, Tuhan juga akan sayang kepada kita. Bila Tuhan sayang, masalah kita akan selesai dengan mudah. Mana satu jalan yang anak-anak nak pilih, jalan yang mudah atau jalan yang penuh masalah? ”

Entah kenapa nasihat nenek itu sangat memberi kesan kepada Mamat. Sudah ramai orang yang memberi nasihat kepadanya tetapi ditolaknya begitu sahaja. Mungkin kerana wajah nenek itu yang begitu tenang, hati Mamat benar-benar tersentuh melihat ketenangan yang dimilikinya. Sangat berbeza daripada air mukanya sendiri yang bengis dan selalu berkerut.

Fikiran Mamat mula menerawang. Memang benar, hidupnya sangat banyak ditimpa masalah. Yang satu belum selesai, datang yang lain pula. Kerana itulah dia sering rasa tak tenang, rasa tak bahagia. Dan kerana itu jugalah dia suka merayau-rayau dan membuat kacau di sana sini.

Setelah nenek itu pergi, Mamat pun berkata kepada Samad, “Samad, betul kata nenek itu kan. Rupa-rupanya sebab aku tak suka berkasih sayanglah, aku ni selalu dibenci orang. Hidup aku selalu ditimpa masalah. Sekarang aku nak berbaik-baik dengan engkau. Aku nak tengok betul tak nasihat nenek itu tadi.”

Samad tercengang-cengang melihat perubahan Mamat. “Betul ke Mamat ni nak jadi baik?”

Samad seperti tidak percaya. “Baguslah tu Mamat. Aku pun minta maaf kepada engkau sebab aku dah campak bag emak engkau ke dalam sungai. Engkau cakaplah pada mak engkau yang itu adalah angkara aku.”

“Tak, sebenarnya aku yang salah. Perbuatan engkau itu sebenarnya hukuman Tuhan kepada aku. Biarlah aku dimarahi emak aku.”

Mamat pun balik ke rumah. Di sepanjang jalan, dia memikir-mikirkan dosa-dosa dan kesalahannya selama ini. Dia berazam untuk tidak mahu bertengkar lagi. Mamat terkejut apabila dia sampai ke rumahnya, emaknya tidak marah-marah kepadanya seperti biasa.

Sebalinya, emaknya cuma tersenyum kepadanya. “Syukurlah engkau dah balik. Emak rasa bimbang tadi. Mula-mula emak marah tengok engkau tak ada, tetapi bila emak ke kebun dan ternampak bangkai seekor anjing yang dilanggar kereta, emak terus teringatkan engkau. Emak risau pasal engkau.”

“Padanlah dia tak marah aku. Betul cakap nenek tadi. Bila aku dah tak mahu bergaduh, cepat sahaja Tuhan bantu.”

“Mamat, tolong ambil air di sungai tu,” jerit Mak Mah dari belakang rumah.

Mamat terus bingkas dan mengambil dua biji balang untuk diisi air. Oleh kerana cuaca agak mendung, Mamat berjalan dengan pantas ke sungai tadi. Dia tidak mahu terperangkap dalam hujan lebat.

Sebaik sahaja Mamat selesai mengisikan air ke dalam balang-balang air tadi, dia ternampak sesuatu yang tersekat di balik sebiji batu besar di tepi sungai. Mamat mendekatinya dan alangkah terperanjat dia! Benda itu ialah beg yang hanyut tadi. Dengan kuasa Tuhan, beg itu tersekat di batu itu.

Mamat menangis terharu. Dia benar-benar merasakan kasih sayang Tuhan kepadanya. Memang benarlah kata-kata nenek itu tadi, Tuhan mengasihi hamba-hambanya yang cuba berkasih sayang dan meninggalkan pergaduhan dan persengketaan.

Tok Malau... demikianlah sebuah sketsa cucu tok ... moga bermanfaat buat semua yang membacanya... kesimpulannya hiduplah berkasih sayang...walaupun berbeza carilah titik persamaan ... bermula dari persamaan itu lahirlah hormat menghormati , bertolak ansur ...berkasih sayang...ampun maaf dari tok yang sering 'terlupa'.

23 April 2009

CARA HIDUP YANG SELAMAT DAN MENYELAMATKAN


Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Agama pada di sisi Allah itu adalah Islam.” (Ali Imran: 19)

Mengikut pada maksud lahir, ayat ini bermakna agama yang Tuhan terima atau redha itu adalah agama Islam. Justeru itu orang yang berfahaman sedemikian merasa cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi orang Islam dan membuat dan melaksanakan rukun Islam yang lima. Di sini kita tidak boleh silap faham. Agama di dalam ayat ini bukan setakat pegangan dan kepercayaan. Agama di dalam ayat ini ialah Addeen atau cara hidup (way of life). Sama ada cara hidup itu di peringkat individu ataupun di peringkat masyarakat. Cara hidup di peringkat individu ialah yang ain dan di peringkat masyarakat ialah yang kifayah. Cara hidup di peringkat individu ialah yang bersangkut paut dengan iman, ketaqwaan, ketuhanan dan ibadah khususiah yang bertujuan untuk membina iman, jiwa dan akhlak. Cara hidup di peringkat masyarakat pula ialah yang bersangkut paut dengan ibadah umumiah atau pembentukan sistem hidup seperti sistem ekonomi, pendidikan, masyarakat, kebudayaan, kesatan, kemajuan, pembangunan dan sebagainya.

Cara hidup di peringkat individu adalah peranan manusia sebagai hamba bersabit hubungannya dengan Tuhan (Hablumminallah). Di peringkat masyarakat adalah peranan manusia sebagai khalifah yang bersabit hubungannya dengan sesama manusia (Hablumminannas).

Kedua-dua hubungan ini adalah di dalam rangka membina tamadun. Di peringkat individu untuk membina tamadun rohaniah dan di peringkat masyarakat untuk membina tamadun lahiriah.

Islam di dalam ayat ini pula bukan setakat agama Islam itu sendiri. Bukan juga setakat penyembahan, rukun atau hukum-hakam. Islam di sini bermaksud selamat dan menyelamatkan. Bukan setakat selamat. Kalau selamat tentu Tuhan akan sebut Salmun. Islam bermaksud kita selamat dan orang lain selamat. Jadi, kalau dikupas secara terperinci, ayat ini membawa maksud yang tersirat seperti berikut:

• Addeen (cara hidup) pada sisi Allah itu adalah selamat dan menyelamatkan.
Ini bermakna kalau cara hidup atau tamadun yang kita tegakkan adalah kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu, maka ia akan selamat dan menyelamatkan.

Tamadun Islam itu (rohaniah dan lahiriah) selamat bagi orang Islam dan menyelamatkan bagi orang lain. Tamadun Islam itu tidak menindas, tidak menekan, adil dan tidak militan. Inilah yang dimaksudkan dengan tamadun hadhari.

• Jangan ambil selain Islam sebagai cara hidup

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Barang siapa yang menghendaki selain Islam sebagai cara hidup, sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan di Akhirat, ia menjadi orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

Manusia itu bermula dari diri dalamannya. Apa yang dilahirkan itu adalah buah. Sebelum boleh mengaddeenkan kehidupan lahirnya, manusia mestilah terlebih dahulu mengaddeenkan diri dalamnya, iaitu bermula dari akalnya, kemudian nafsunya dan hatinya.

Setelah akalnya, nafsunya dan hatinya terdidik bertunjangkan iman, taqwa dan rasa bertuhan, barulah akan lahir buahnya iaitu deenul Islam atau cara hidup Islam. Selain deenul Islam atau cara hidup Islam, Tuhan tidak terima. Akibatnya manusia akan rugi. Rugi itu maksudnya akan dilempar ke dalam Neraka.

Dalam hendak membina tamadun dan cara hidup, umat Islam tidak ada pilihan. Umat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam. Kalau tidak, cara hidup atau tamadun itu tidak akan diterima Tuhan. Tambahan lagi, kalau mengikut cara hidup atau tamadun yang dicipta akal manusia, ia akan merosakkan kehidupan manusia itu sendiri dan manusia akan hidup dalam kehinaan dan penderitaan. Apa pun, tamadun itu mesti bermula dari pembinaan insan atau pembinaan diri dalam manusia yang merangkumi akal, nafsu dan hati.

• Amalan Islam mesti syumul

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya.” (Al Baqarah: 208)

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi orang yang melakukan demikian itu melainkan akan ditimpa kehinaan di dunia. Manakala di Akhirat akan dicampakkan pada azab yang pedih.” (Al Baqarah: 85)

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: “Bukan sifat mukmin lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum, mereka memilih-milih (yang sesuai dengan selera mereka).” (Al Ahzab: 36)

Islam itu satu sistem keselamatan. Kalau Islam itu tidak diambil atau diamalkan keseluruhannya, akan ternafilah keselamatan yang dijanjikan oleh Islam. Kita tidak boleh beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengahnya. Kita tidak boleh amalkan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengahnya. Kita tidak boleh campur adukkan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain, dan kemudian menuntut keselamatan dari Tuhan.

Sistem Islam itu adalah penawar. Sistem-sistem yang lain adalah racun. Kita tidak boleh campurkan racun dengan penawar dan kemudian menganggapnya sebagai ubat. Kalau kita berbuat begitu, bukan sahaja penyakit yang ada tidak akan sembuh, bahkan akan timbul pula berbagai-bagai penyakit yang lain.

Kalau kita berjaya mengamalkan Islam keseluruhannya iaitu berjaya menegakkan cara hidup dan tamadun Islam, baik yang lahir mahupun yang batin, maka Tuhan janjikan apa yang difirmankan Allah SWT dalam Quran:
Maksudnya: “Negara aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.” (As Saba’: 15)

Aman negara itu adalah kerana adanya ukhuwah dan kasih sayang, perpaduan, timbang rasa, bersatu padu, rasa bersama, bekerjasama, bertolak ansur, maaf-bermaafan, doamendoakan, bertolong-bantu, bela-membela, pemurah dan berdisiplin hasil dari terbinanya rohani dan insan rakyat. Negara damai, tenang dan sejahtera. Tidak ada krisis, pergaduhan, perbalahan dan jenayah.

Makmur negara itu bila ada pembangunan, ada jalan raya, ada kemudahan, mewah makan minum, berpakaian, cukup tempat tinggal, mudah perhubungan, mudah mengurus keperluan dan kehidupan dan sebagainya. Makmurnya negara itu adalah sebagai alamat atau isyarat kasih sayang Tuhan terhadap negara dan rakyatnya yang telah berjaya mendirikan Islam dalam diri dan negara mereka.

Keampunan Tuhan itu bukanlah kerana negara makmur. Tidak ada kaitan negara makmur dengan keampunan Tuhan. Tuhan tidak memberi keampunan kepada sesebuah negara hanya kerana negara itu makmur. Kalau begitulah maka Amerika dan Eropah lebih layak mendapatkan keampunan Tuhan kerana mereka makmur.

Keampunan Tuhan itu adalah kerana makmurnya hati rakyat sesebuah negara. Apakah hati yang makmur itu? Iaitu apabila hati tenang, terutama tenang dengan dunia, walaupun hati bergelora dengan Tuhan. Hati yang lapang, indah dan tidak takut pada dunia dan hal-hal keduniaan. Hati yang cinta dan takut Tuhan hinggakan hal dunia tidak menggugat perasaan. Lapang dada dengan kesusahan dunia tetapi bimbang dengan kesusahan Akhirat. Sibuk dengan rasa bertuhan. Rasa berdosa dan takut dengan dosa. Hati yang seperti ini adalah hasil berzikrullah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati (zikir) kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang (tentang hal-hal dunia).” (Ar Raad: 28)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka.” (Al Anfal: 2)

Makmur hati inilah yang membawa kepada keampunan Tuhan, bukan makmur negara. Makmur negara itu hanya nikmat yang Tuhan segerakan kerana redha-Nya. Ia berbentuk rahmat dari Tuhan kerana kasih sayang-Nya. Itu pun kalau kemakmuran itu adalah hasil dari usaha yang bertepatan dengan syariat dan cara yang Tuhan mahu. Bukan kemakmuran mengikut konsep ciptaan manusia seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Makmur yang dicapai tanpa menegakkan cara hidup dan tamadun Islam ialah istidraj. Ia Tuhan beri dengan murka. Ia bertujuan untuk menyesatkan lagi manusia yang kufur dan ingkar.

Tok Malau ... mari kita makmurkan hati dengan aqidah ahlul haq dan taqwa...moga memperolehi keampunanNya... kalu dah diampun makna tiada berdosa...ertinya telah dirahmatiNya... tempat insan yang tidak berdosa dan mendapat rahmatNya ... Jannah...Amin

المحبة


كل الناس في اشتياق إلى المحبة

لأنها من الفطرة الإنسانية

وفي اشتياق للحياة في رخاء

وانسجام فهي السعادة المرجوة

وكل إنسان بحاجة إلى الحماية

وكذلك العناية والاحترام

فلا تنتهك الحقوق الإنسانية

والمجرمون لا بد أن ينالوا جزاءهم

والتسامح في الحياة ركن

من أركان المعاملة في المجتمع

والتفكر والاتفاق

لتكون الحياة الاجتماعية مملوءة بالبركة

قل لي أين، وقل لي أين

أنى لي تلك الحياة

وإرادة الفطرة الإنسانية قد فنت

وكذا آمالهم ذهبت ودمّرت

نتيجة من سواد القلب

بالصفات المذمومة

هاهنا وهناك

في توتر بالأزمات

وحروب قد شنت

تضيع النفوس والأموال

الفقر والمعاناة في بعد عن الرعاية

الكبار والأغنياء

يفعلون ما يشاءون

قل لي أين، وقل لي أين

أنى لي تلك الحياة

ربنا أنت الوحيد

موضع رجائنا

أنت الولي الحقيقي

أنت من ينقذنا

أنت الحل لمشاكلنا ومسائلنا

Tok Malau... mohon cucu tok ..nurjannah terjemahkan...he he... tok dah tua no...

22 April 2009

ISLAM AGAMA FITRAH


Yang dimaksudkan oleh fitrah itu ialah hati atau roh manusia . Sebenarnya roh atau hati manusia mempunyai perasaan. Perasaan itulah agama.

Tetapi bila belum ada perintah dari Tuhan, tidak dinamakan agama. Walaupun belum didatangkan arahan perintah atau larangan dari Tuhan, ia sudah ada dalam diri seseorang. Agama Islam itu adalah agama fitrah, jadi apa yang ada dalam hati seseorang itulah yang Allah suruh.



Kita lihat fitrah ini terbahagi pula kepada dua hubungan yang kedua-duanya terdapat dalam diri manusia iaitu:

1. Ada hubungan dengan Allah
2. Ada hubungan dengan syariat


Allah telah utuskan rasul-rasul untuk menyuburkan fitrah yang telah sedia ada itu sama ada suruhan berbentuk aqidah atau syariat. Berdasarkan itu, agama Islam adalah fitrah semulajadi manusia yang diperlukan oleh roh dan juga fizikal. Hubungan dengan Allah itu umpama makanan roh, sama seperti makanan fizikal.

Contohnya, jika kita suka makan daging, tiba-tiba orang datang bawa hidangan daging kepada kita, betapa indahnya. Sudah tentu kita rasa seronok tidak terhingga.

Ataupun kita suka makan ayam, tiba-tiba orang datang hidang lauk ayam apalagi ianya telah dimasak dengan resepi kegemaran kita, sudah tentu selera kita juga terbuka dan terangsang pada masa itu.

Lain pula jika kita suka makan ikan, orang datang hidang pula lauk yang kita tidak suka iaitu selain dari ikan, jadi tidak indah dan tidak seronok, langsung tertutup selera makan.

Jadi demikianlah dengan fitrah manusia. Kedatangan rasul-rasul itu menyuburkan lagi fitrah semulajadi manusia. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, fitrah hati manusia itu ada dua iaitu aqidah dan syariat.

Fitrah pada Aqidah:

Fitrah manusia itu ingin 'bertuhan'.

Di sini diturunkan contoh yang menunjukkan manusia setuju dengan Tuhan.
1. Bagaimana kalau orang kata, “Awak ni hamba betina.”
Ataupun, “Awak ni hamba duit.”

Kalau orang yang dikata itu tidak sabar, sudah tentu tangan sampai ke muka, sekalipun pada hakikatnya memang betul orang yang dikata itu menghambakan hidupnya kepada wang dan perempuan.

2. Apa pula perasaan setiap orang kalau ada orang berkata kepadanya, “Engkau ini hamba Tuhan,”, “Wahai hamba Allah,” tentu hati berbunga dengan rasa senang dan rasa terhibur walaupun pada hakikatnya orang itu memang tidak sembahyang atau tidak mengerjakan perintah Allah.

Jadi sebenarnya hati, fitrah, perasaan itu adalah agama, iaitu ingin bertuhan dan ingin tunduk kepada Tuhan. Jadi kedatangan rasul-rasul memperkenalkan Tuhan kepada manusia adalah untuk memenuhi fitrah ingin bertuhan itu. Seolah-olah orang yang ingin makan daging ayam, dibawakan lauk ayam.

Tapi persoalannya, apabila diperkenalkan kepada Allah dan Rasul, mengapa ramai manusia yang tidak mahu menyembah-Nya?

Mengapa manusia tidak suka pada Tuhan sedangkan manusia berpijak di atas bumi dan menyedut udara yang Allah jadikan?

Fitrah pada Syariat:


Dari sudut syariat pula, bagaimana rasa hati kita kalau kita tengok ada orang yang pemurah.
Hati kita suka atau tidak? Sudah tentu kita akan rasa senang. Allah juga suka dengan orang pemurah, malah Allah suruh kita jadi pemurah. Kalau kita suka orang pemurah dan Allah juga perintahkan kita jadi pemurah, apa sebenarnya yang menghalang kita jadi pemurah? Ada orang yang tidak boleh tengok orang lain susah. Hatinya mudah rasa kasihan dan hendak menolong.

Jadi kita lihat kehendak Tuhan dan perasaan hati manusia ada persamaan? Belas kasihan Tuhan kepada manusia tiada bandingannya apatah lagi jika hamba-Nya itu redha dengan kesusahan yang dihadapi. Jika begitu mengapa kita masih terasa berat atau tidak mahu menolong orang? Ada orang suka buat baik dengan orang yang buat jahat kepadanya. Walaupun dia dihina atau dicaci dia tetap sabar dan memaafkan orang yang menghinanya.

Kalau begitu kehendak hati kita, kemudian datang pula perintah Tuhan supaya kita jadi orang yang sabar dan pemaaf, hati kita pun setuju. Kalau kita suka kepada orang yang pemaaf, orang lain pun suka begitu. Dalam masa yang sama Tuhan pun perintahkankan kita jadi pemaaf. Jadi perlulah diusahakan untuk jadi orang yang pemaaf. Kalau seseorang itu tidak adil, hati kita pun tidak suka. Datang perintah Tuhan supaya jangan buat perkara itu. Jadi apa yang hati kita suka, itu Tuhan suruh. Apa yang hati kita tidak suka, itu Tuhan larang. Tetapi mengapa kita susah hendak membuat suruhan Tuhan dan payah untuk meninggalkan larangan-Nya?

Fitrah sebenarnya mudah terdedah kepada kerosakan-kerosakan luaran. Sebagai tamsilannya; ada dua biji benih yang sama, kedua-duanya baik. Satu ditanam, dijaga, disiram dan dibaja. Manakala yang satu lagi dibiarkan, tidak dijaga, tidak disiram dan dibaja. Cukup tempohnya kita lihat satu daripada biji benih itu telah tumbuh dengan subur serta berbuah manakala yang satu lagi tidak subur dan tidak berbuah kerana ia didedahkan kepada musuh yang boleh merosakkannya serta tidak diberi makanan yang secukupnya.

Demikian juga manusia, tidak cukup kalau bergantung pada fitrah sahaja. Mengapa begitu? Kerana fitrah yang telah sedia ada itu jika tidak dijaga, dipupuk dan disuburkan ia akan mudah dirosakkan oleh anasir-anasir luaran. Setakat akal sahaja dia tidak akan tahan. Umpama benih yang dicampak begitu sahaja ia tidak akan subur dan tidak membuahkan hasil.

Setelah kita faham peranan fitrah tadi barulah kita dapat memahami bagaimana hendak melatih perasaan supaya tajam. Perasaan boleh ditajamkan dengan menyuburkan fitrah kita tadi dengan rasa kehambaan, rasa takut, rasa cinta, rasa bertuhan, rasa sayang, rasa bersama dan bekerjasama, pemaaf dan memberi maaf dan sebagainya .

Demikianlah sebenarnya Islam itu Allah jelaskan, bukankah sangat indah sehingga manusia tidak rasa jemu? Malangnya hari ini kebanyakan manusia hanya bercakap berdasarkan nas atau hukum-hakam. Mereka tidak menghuraikannya sehingga benar-benar menyentuh fitrah manusia. Maka perasaan manusia tidak jadi tajam, hati pun tidak terdidik. Jadi bagaimana manusia hendak melaksanakan hukum-hakam tadi.

Inilah sebenarnya kerana mereka sendiri tidak faham dan tidak nampak maksud perintah Tuhan itu. Contohnya, Tuhan suruh bersatu. Yang difahami ialah sekadar bersatu. Huraiannya dan maksud ayat tidak difahami. Bila maksud ayat difahami, maka seolah-olah ayat tersebut telah dihafal. Hari ini orang berceramah hanya dengan menghafal ayat dan menghurai berdasarkan nas. Orang ini pun dianggap dialah yang paling beragama. Lebih-lebih lagi kini ramai orang yang hafal Quran dan Hadis kerana ingin menjadi hafiz. Untuk menghafal sahaja sudah ambil masa hingga 10 tahun, bila pula masanya hendak memahami isi Al Quran, sedangkan yang pentingnya ialah memahami isi Al Quran itu dan melaksanakannya. Sebab itu ramai orang yang hafaz Al Quran tapi jumud, tidak berkembang pemikirannya. Sepatutnya mereka yang hafiz ini boleh jadi pemimpin kerana Al Quran ada dalam dada mereka. Sudah tentu mereka dengan mudah boleh menangani masalah masyarakat kerana Al Quran telah menjadi rujukan mereka.

Hari ini jika dilantik pemimpin di kalangan orang-orang yang hanya hafal Quran tetapi tidak memahami maksudnya, belum tentu mereka boleh memimpin manusia, ditakuti pula menjadi semakin rosak. Bila ulama mendidik dengan tidak memikirkan hati dan perasaan sebagai ‘target’, orang akan jadi jemu dan letih. Macam mana manusia hendak berubah, ulama kampung menghurai Al Quran secara kampung, ulama moden pula menghurai secara falsafah, kedua-duanya tidak menjadikan hati dan perasaan sebagai sasaran didikan.

Sebagai tamsilannya, ulama atau pendakwah yang hendak menceritakan Islam kepada orang adalah seperti orang yang hendak menghidang makanan. Jika kita hendak merangsang orang makan, tentu kita rangsang nafsunya. Kita hidang sehingga dia rasa hendak makan. Tapi kalau kita hidang secara lebih kurang, kemudian kita korek hidung, korek telinga di depannya, belum tengok makanan lagi, baru tengok kita pun orang tidak selera hendak makan.

Oleh itu, ulama dan pendakwah haruslah menekan soal kerohanian kerana hanya dengan kerohanian fitrah manusia dapat disentuh dengan berkesan dan disuburkan.Wallahua'lam.

Tok Malau ... post ni tok dengo kuliah masa kat Johor dulu ... syukur masih dalam simpanan... moga bermanfaat kepada para pejuang agar bijak mengatur langkah perjuangan ... kepada arnabun moga berjaya mencari erti perjuangan yang sebenar ... ampun maaf dari tok yang sering lupa dan terlalai... mzb

21 April 2009

Hati tok bermadah ...

Bila hati rasa cukup apa yang ada, tidak susahkan yang tiada, itulah kaya namanya.

Kebanyakan manusia,antara satu sama lain dekat di mata jauh di hati.Sedikit sekali yang jauh di mata dekat di hati.Dan lagi sedikit dekat di mata dan dekat di hati.

Senyum mudah sahaja, namun ia lebih mahal daripada memberi duit kerana ia boleh membawa kasih sayang dan kemesraan. Sebab itu syariat menganggapnya sedekah , senyumlah selalu apabila bertemu.

Seorang yang kagum dengan kemampuan dirinya,selalunya susah mentaati pimpinan orang lain,tapi kalau dia memimpin susah pula orang hendak taat,sebab wataknya bak lembu menanduk yang di depan,menyepak yang di belakang.


Tok Malau ...bertemankan kopi 'o' memikirkan erti 'hamba' yang tak punya apa-apa, mana milik kita? ... semuanya milik Dia...

20 April 2009

Allah Maha Berkata-Kata

Salam... tok nak ajak cucu - cucu tok dengo dan hayati lagu ni...moga bertambah iman dan Kenali Dia....Cintai Dia ... Tuhan Yang Maha Baik.



Tok Malau ... tok tak pandai ngajo budak2 ilmu tauhid.. kat skol tok ajo lagu ni je... mudah faham ... tok pun mudah mengajo... tok yang tak dak ilmu...al haqir wal faqir ..

15 April 2009

PIL UBAT RASULULLAH


Sudah menjadi fitrah manusia ia ingin hidup aman damai. Begitu juga fitrah manusia yang lain, dia tidak mahu berlakunya krisis, kemungkaran, pencabulan dan segala penyakit masyarakat.

Andaikata kalau dia seorang pemimpin, dia mahu orang yang dipimpin itu meletakkan ketaatan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang yang dipimpin, dia mahu pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Andaikata kalau dia seorang ayah, dia mahu anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang anak, dia mahu ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Begitu jugalah suami kepada isterinya, dan isteri kepada suaminya. Andaikata seorang pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing. Begitu juga seorang rakyat, anak murid, dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan, pertengkaran diatas muka bumi ini.

Tapi kalau kita lihat, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Firman Allah yang ertinya:

"Telah berlaku kerosakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan manusia" [Q.S Ar-Rum : 41]

Hal ini terjadi bila pemimpin tidak dapat memberi keadilan, terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Begitu juga orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah juga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, begitu juga anak-anak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga guru terhadap murid dan murid terhadap gurunya, suami terhadap isterinya dan isteri kepada suaminya.

Sebab itu dapat kita lihat berbagai-bagai masalah timbul dari sekecil-kecil masalah hinggalah ke sebesar-besar masalah. Dari rumah tangga, hinggalah ke negara-negara yang hebat pemimpinnya. Telah berbagai cara dan jalan dicari untuk menyelesaikan masalah. Ada yang mengatakan :

1. Kekayaan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya, tetapi tidak juga dapat menyelesaikan masalah ini.
2. Ada pula yang mengatakan kepandaian dan ilmu pengetahuan akan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, tetapi juga tidak berhasil untuk menyelesaikan masalah ini, bahkan bertambah rumit lagi.
3. Ada juga yang mengatakan pangkat dan darjat dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi ini juga tidak berhasil menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, bahkan bertambah parah dan rumit lagi.

Jadi jalan yang paling mudah untuk kita selesaikan masalah ini haruslah kita kembalikan kepada Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW.

Al Qur'an dan Sunnah dapat memberikan jawaban yang tepat, ,dari manakah akar dari masalah-masalah tersebut.
Firman Allah SWT yang ertinya :
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi ia tidak mengubah yang ada di dalam hatinya"
[Q.S Ar-Rad : 11]


Hadits Rasulullah SAW yang artinya :
"Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rusak daging itu, maka rusaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati."

Dapat kita lihat dari Al Qur'an dan Hadits tadi setiap penyakit yang timbul pada diri manusia itu, adalah berawal dari hati. Hati yang sakit (jahat) akan mendorong mata, kaki, tangan berbuat jahat. Maka lahirlah masyarakat yang jahat, seperti merompak, membunuh, memfitnah, mengumpat dan sebagainya.

Penyakit masyarakat ini dapat diibaratkan sebagai sebatang pokok yang mengeluarkan buah yang beracun. Buah yang beracun itu disebabkan pohon yang beracun. Jadi untuk menghilangkan buah yang beracun itu hendaklah ditebang pohon itu terlebih dahulu. Bukan buang buah saja. Sebab kalau yang dibuang buahnya saja, sepuluh buah yang kita buang akan tumbuh pula sepuluh pohon yang beracun. Begitulah seterusnya.

Oleh itu untuk panduan yang lebih jelas lagi, kita lihat bagaimana Rasulullah dapat mengubat penyakit masyarakat ketika itu hingga menjadikan orang miskin sabar dan redha dalam kemiskinan dan orang kaya pemurah. Seperti Abu Hurairah yang menjadi ketua dari puluhan fakir miskin yang tinggal di Serambi Masjid Madinah. Sayidatina Fatimah, seorang wanita miskin walaupun anak Rasulullah dan menikah pula dengan Sayidina Ali yang begitu miskin lagi pejuang pula. Kemudian perpecahan diantara satu golongan dapat disatukan seperti Muhajirin dan Anshar. Baginda Rasulullah SAW dapat mendidik masyarakat jahiliah kepada kenal dan cinta kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW saat itu diutus sebagai Pembawa Rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah yang artinya :
"Dan tidak diutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat pada sekalian alam"
[Q.S. Al Anbiya : 107]

Dengan keberkatan dan ketabahan Rasulullah SAW itu, Baginda dapat mengembalikan masyarakat kepada kebenaran.

Krisis Masyarakat di Zaman sebelum Rasulullah

Sebelum dibahas tentang bagaimanakah Rasulullah mengubati penyakit masyarakat jahiliah di zamannya, terlebih dahulu kita mengetahui akan apakah penyakit masyarakat yang mewabah ketika itu. Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, masyarakat tertimpa berbagai macam krisis dan penyakit jiwa. Diantara penyakit yang menimpa masyarakat :
* Sangat memuja berhala. Hati masyarakat begitu melekat kepada berhala.
* Terlalu ketagihan dengan arak/alkohol.
* Terlalu suka dengan riba. Bunga tinggi, tak sanggup bayar, jadi hamba.
* Wujudnya dua empayar besar yaitu Rome dan Parsi yang menindas negara-negara lemah.
* Pelacuran amat leluasa merebak di tengah masyarakat.
* Akhlak kaum wanita ketika itu amat rendah.
* Manusia terlalu bakhil, terlalu gila harta sehingga harta orang hendak dijadikan harta dia.
* Perpecahan menjadi-jadi. Terjadi peperangan. Kadang peperangan besar hanya disebabkan hal kecil.

Cara Rasulullah Menyelesaikan Krisis

Rasulullah hanya tanamkan 3 pil saja pada diri masyarakat Jahiliah ketika itu.

Pertama, Rasulullah menanam kembali rasa tauhid kedalam hati masyarakat sehingga manusia terasa akan kebesaran Tuhan, kasih sayang, kehebatan dan keperkasaan Tuhan.

Kedua, Rasulullah menanamkan kembali cinta kepada Akhirat. Beliau memperkatakan tentang Syurga dan Neraka.
"Akhirat itu adalah lebih utama, lebih baik daripada dunia." (Q.S. Ad Dhuha : 4)
"Akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal" (Q.S. Al A'la : 17)

Lahirlah manusia yang jiwanya terpaut dengan Akhirat. Akhirnya bukan saja harta dihabiskan untuk Akhirat bahkan nyawa sendiri dikorbankan. Mereka mahu cepat-cepat kembali ke Akhirat. Mereka mahu mati syahid menjadi para syuhada.

Ketiga, Rasulullah menanam semangat dan perasaan cinta akan sesama manusia terutamanya umat Islam untuk mengikis penyakit terlalu cinta diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan sendiri.

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri"

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain"


"Barang siapa yang menunaikan hajat saudara lain, Tuhan akan tunaikan padanya 70 hajat"


Terjalin perasaan ghairah apabila menolong orang lain. Lahir perasaan kasih sayang pada orang lain. Mereka dapat merasakan nasib orang lain seperti nasib mereka sendiri, kesenangan orang lain seperti kesenangan sendiri, kesusahan orang lain seperti kesusahan sendiri, darah orang lain seperti darah sendiri, nyawa orang lain seperti nyawa sendiri.

Dengan 3 pil inilah Rasulullah dapat mendidik manusia-manusia Jahiliyah ketika itu hinggakan Allah telah memuji Rasulullah dan generasi ketika itu. Firman Allah yang artinya :
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia yang mengajak kepada Ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah"
[Q.S. Ali Imran : 110]

Hadits Rasulullah SAW yang artinya :
"Sahabat-sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Jika diikuti diantara mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk"

Tok Malau... moga kita menggunakan 3 pil Ar Rasul itu dan kita sebarkan

12 April 2009

Beruntungnya ada mursyid


Untungnya ada guru mursyid
Dialah yang memimpin kita lahiriah
dan rohaniah
Mengenalkan kita kepada Al Khaliq
Membantu kita menghayati rahsia Ar Rahman dan Ar Rahim
Memberi contoh kepada kita betapa perlunya menjadi hambaNya
Memupuk kecintaan kepada Kekasih Allah
Muhammad Al Mustofa yang sangat berjasa
Dan luar biasa akhlaknya...yang perlu diikuti dan dihayati
Menggalakkan kita berjuang seperti salfussoleh berjuang
Rahbanun fil lail wafursanun binnahar

Mursyid juga mengajar kita agar berkasih sayang
Sesama manusia , Islam dan bukan Islam
Berakhlak mulia hati dan tuturkata
Agar Islam yang kita bawa dipandang indah
Agar kita dilihat sebagai penyelamat , kerana membawa Islam
Bukankah Islam itu selamat dan menyelamatkan?

Kata mursyid lagi berjuang itu ertinya berkorban
Berkorban ertinya terkorban...
Terkorbankah hati ,wang ringgit , masa
dan nyawa kita?
Dalam berjuang jika ingin jadi pejuang
Dan ingin perjuangan menang
Wajib bermujahadah , Awwalu mujahadah binnafsi
Mujahadahkan diri...renungi diri..hinakan diri
Susah-susahkan diri , hiduplah secara sederhana
Hidup dan cintailah para masakin agar hati terdidik
Janganlah nampak kejahatan orang lain yang sememang..
Terdidik dengan sistem seperti itu..

Kita yang ada mursyid berilah tunjuk dan jalan
dengan cara mursyid ...berkasih sayang dan hikmah
Agar mereka seolah-olah ada mursyid
Jika ada mursyid tapi tidak mahu bermujahadah
Sepertilah mereka yang tiada mursyid
Bahkan lebih teruk lagi agaknya...
kerana tiada beradab dengan mursyid
kerana tidak menghayati kata mursyid

Tok Malau... Selamat berjuang dan ampun maaf

10 April 2009

Untuk mama muo...pink kaler


Dalam blog chedet, seperti yang dijangka, Tun Dr M tidaklah terlalu gembira serta meletakkan harapan yang tinggi akan perubahan besar UMNO dan negara dengan kenaikan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Keseluruhan posting KENAPA SAYA MASUK UMNO BALIK tu begitu hambar. Sebelum perhimpunan UMNO lalu, beliau tidak merancang pun untuk hadir persidangan, apatah untuk masuk ke dalam UMNO semula.

Liputan media tentang Majlis angkat sumpah Perdana Menteri yang baru sangat formal dan propa (ganda). Tiada apa-apa yang istimewa. Yang paling menonjol pada acara ucapan perdana PM baru di TV, mahupun acara selamat jalan kepada Pak Lah di Putrajaya adalah baju Melayu merah jambunya. Hampir semua akhbar dan TV menyatakan dalam ayat warna baju yang dipakai oleh Perdana Menteri yang baru dan lama ( warna baju Pak Lah disebut berwarna jingga ). Kita lihat semasa majlis angkat sumpah PM baru, Agong dan Permaisuri memakai warna baju yang agak berbeza. Hmm.. mungkin kebanyakan lelaki Melayu terlalu profesioanal (kalaupun bukan malu) untuk memakai baju Melayu berwarna sedemikian seperti jingga (orange) mahupun pink…. apatah lagi jika sedondon dengan isteri..


Sedondon jingga/merah jambu - mungkin juga dikaitkan dengan 'mendengar kata isteri'

ALL eyes may have been on the outgoing and incoming prime ministers on Friday, but there was also another point of interest attracting much attention that day. If there was a colour of the day, it was definitely PINK.The start of the historic day was marked by sombre colours at Istana Negara, where Najib took his oath of office before Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.The king, in resplendent yellow, and the queen, in a red and white baju kurung, walked into the ceremonial hall…

Najib and Rosmah came dressed in pink to join Abdullah and his wife in bidding farewell to employees..Rosmah’s rose pink outfit was a shade darker than the one worn by her husband,Abdullah wore a vermilion baju melayu, while Jeanne was in a bright tangerine baju kurung.
Datuk Seri Najib naik keseorangan. Muhyiddin Yassin bukan orang beliau. Khairy Jamaluddin pun bukan, Shahrizat Ketua Wanita UMNO pun sah-sah orang Pak Lah. Beliau naik tetapi macam tiada regu. Naik macam tak naik. Tiga hari setelah perhimpunan UMNO selesai Tun M menghentam Pak Lah lagi dalam wawancara BBC di London. Pengecaman terhadap Pak Lah adalah suatu sindiran terhadap penggantinya.


Tok Malau ... tobat tok tak pakai pink kaler dah... cari personaliti ' pink ' kat Kitabul Colour...he..he.. mama muo mohon respon..

09 April 2009

SUSAHNYA BERLAKU IKHLAS


Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana -kerana lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta, kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan, kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerja-kerjanya. Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah ternoda.

Justeru apa yang dibuat itu `kerana Allah`nya telah bercampur dengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu `kerana Allah`nya sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu. Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi.
Di Akhirat nanti Allah meminta orang itu, "Pergilah minta pahala daripada orang yang awak keranakan itu." Allah Taala tidak akan membalas kebaikan apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi ada kerana yang lain selain Allah Taala.

Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat susah sekali.
Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah, dakwah, mengajar, belajar, gotong-royong, membaca Al Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah, memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan orang ramai.

Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar, jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.

Adakalanya amalan itu awal-awal lagi nawaitu atau niatnya telah rosak. Ibarat membuat rumah atau bangunan di atas lumpur maka awal-awal lagi rumah atau bangunan itu runtuh di awalnya lagi. Kalau tidak di awalnya, rosak pula di pertengahan jalan. Kadang-kadang di awal-awal dan di pertengahan jalan masih hatinya kerana Allah, tidak bercampur kerana kerana yang lain selain Allah Taala, tapi dia terjebak di hujung atau di akhir perbuatannya.

Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.

a. Niat rosak di awal lagi.

Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekian. Sama ada kita yang membuat program itu, mahupun penduduk tempat itu menjemput kita.
Hati kecil kita pun berkata: "Ha! Inilah masanya aku akan popular."
"Aku akan terkenal!"
"Adalah peluang duit poket!"
"Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku selama ini." "Barulah mereka tahu siapa aku!"
"Padanlah muka mereka nanti!"

Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.

b. Rosak di pertengahan.

Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya. Mula-mula memang dibuat kerana Allah.
Hati berkata: "Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi peluang sudah ada atau sudah terbuka."
"Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu."

Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya, dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan menunjukkan ada respon dari orang ramai. Hati kita pun berbunga. Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati kita pun membisikkan kepada kita:
"Hebat aku ni!"
"Boleh tahan juga aku ini."
"Payah juga orang lain hendak menandingi aku."

Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi. Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan. Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.

c. Rosak di hujung.

Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan dakwahnya. Di waktu itu hatinya masih baik. Belum tergugat lagi. `Kerana Allah Taala`nya masih belum terungkai lagi.

Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap: "Ustaz bercakap tadi sedap betul."
"Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon."
"Ustaz ni kalau terus-menerus boleh membuat dakwah ini, ustaz akan lebih lagi lincah dan matang."

Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam berceramah atau pidato. Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu telah terkorban.

Ibarat membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh. Apa yang kita bawa ini adalah sebagai satu contoh. Kita bolehlah kiaskan kepada usaha-usaha dan kerja-kerja yang lain.Apakah usaha dan kerja itu kita buat kerana Allah atau kerana kita seratus peratus atau bercampur kerana Allah dengan kerana kita.

Tok Malau... tingkatkan iman , jagalah hati...hati tempat jatuhnya
pandangan Allah ..Jasad yang lahir tumpuan manusia ,
Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia...

07 April 2009

Lagu Toyyibah Seantero Dunia

AMERIKA



INDIA / PAKISTAN




EROPAH




MALAYSIA / NUSANTARA

06 April 2009

BERJUANG PADA JALAN ALLAH SEBENARNYA INDAH DAN SELAMAT



Militan, keganasan, terrorist, bom, menyembelih orang, berani mati, jihad semuanya sinonim dengan Islam. Hari ini pejuang Islam tidak dilihat sebagai penyelamat, pelindung, pembawa kasih sayang dan kebahagiaan tetapi membawa gambaran keganasan, kekerasan dan kehancuran. Begitu sekalilah buruk dan hinanya wibawa Islam dan para pejuang Islam di akhir zaman ini. Tetapi apakah itu ajaran Islam sebenarnya. Yang dikatakan berjuang di jalan Islam itu apa dan bagaimana rupaya? Bagaimana pula Rasulullah dan para sahabat berjihad dan melaksanakan perintah berjuang pada jalan Allah.

Islam itu selamat dan menyelamatkan. Rasulullah adalah pembawa kasih sayang. Dalam 74 kali peperangan Rasulullah tidak pernah sekalipun membunuh, bukan kerana Baginda tidak handal menghayun pedang dan memacu kuda, tetapi Baginda adalah penyelamat. Baginda menawan musuh dengan akhlak dan kasih sayangnya dan bukanya melalui hujung pedang. Tidak di nafikan para sahabat sangat aktif dan berjaya di medan perang mengalahkan musuh. Tetapi kita kurang mengkaji apa rahsia di sebalik kejayaan mereka. Sejarah membuktikan bahawa dalam keseluruhan peperangan bilangan tentera musuh lebih ramai dari tentera Islam tetapi tentera Islam mendapat kemenangan kerana apa? Bukan kerana factor kekuatan lahiriah tetapi sebenarnya kerana kekuatan taqwa. Tuhan yang menghantarkan tenteranya nya untuk mengalahkan musuh.

Tetapi sesungguhnya umat Islam sering terlupa bahawa yang Tuhan minta kita berjuang di jalanNya itu bagaimana. Apakah jihad itu bermaksud pedang dan darah, nyawa sebagai tebusannya atau bagaimana? Kalau begitu mari kita cungkil maksud Tuhan dan arahan Tuhan mengenai tuntutan berperang atau berjuang di jalan Allah.

Allah Taala berfirman dalam Surah An Nisa' : 84 yang bermaksud ;

“Hendaklah kamu berperang atau berjuang pada jalan Allah, tidak diberatkan kecuali pada diri kamu dan digalakkan kepada orang mu'min. Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir atau orang-orang engkar dan Allah itu adalah sangat keras dan sangat memberi amaran kepada mereka.”


Di sini kita akan bahaskan beberapa perkara :

1. berjuang pada jalan Allah
2. tidak diberatkan kecuali diri kita
3. bagi orang mu'min digalakkan
4. moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir

A. Perintah berjuang pada jalan Allah

Tuhan suruh kita berperang atau berjuang pada jalan Allah. Apa jalan Allah? berjuang pada jalan Allah di sini maksudnya ada 2 perkara penting :

1. Promosikan ( Perkenalkan ) Aqidah Tuhan:


Iaitu memperkenalkan Allah hingga aqidah orang betul: iaitu memperkenalkan Zat, sifat dan perbuatan Allah pada manusia. Itulah aqidah asas, tauhid asas. Supaya manusia selamat dari tersalah aqidah. Kalau begitu yang kata berperang pada jalan Allah bukan untuk bunuh orang. Tapi orang tak nampak tugas ini. Yang ada, bila kata perang, mereka mau bunuh orang, mau pancung orang. Padahal patutnya untuk membetulkan aqidah orang yakni untuk fahamkan orang tentang Zat, sifat dan perbuatan Tuhan.

Selepas itu berjuang hingga orang menghayati aqidah yang betul tadi. Bila orang hayati aqidah yang tepat, maka orang takan takut dan cinta dengan Tuhan. Untuk membuat manusia takut dan cinta Tuhan, tak cukup hanya aqidah asas. Tapi kena diceritakan apa kebaikan Tuhan, apa yang Tuhan bagi pada kita, bagaimana Tuhan jaga kita bagaimana Tuhan menyelamatkan kita, dan cerita hingga nafas kita Tuhanpun bagi setiap masa. Setiap bumi yang kita pijak adalah Tuhan punya; setiap nafas dari Tuhan; pandanglah apa saja semuanya Tuhan punya. Mata yang kita gunakan untuk itu semua pun Tuhan yang punya; mendengarlah apa saja menggunakan telinga yang Tuhan jadikan; bercakaplah sebanyak mana kita mahu sedangkan mulut itu Tuhan yang ciptakan ; kita makan dan minum nikmat dari Tuhan ; bekerja menggunakan tenaga dari Tuhan bila letih bekerja datang rahmat Tuhan kita mengantuk, tidur. Kita sudah rehat itu nikmat dari Tuhan bertenaga semula. Janganlah ajar aqidah yang asas saja nanti orang tak takut dan cinta dengan Tuhan.

Ceritakan apa lagi nikmat Tuhan, kebaikan Tuhan, baru tumbuh rasa cinta dengan Tuhan. Kita ingin berhibur Tuhan ciptakan lelaki dan perempuan. Dengan ada lelaki perempuan kita boleh berhibur. Kalau Tuhan buat lelaki saja atau perempuan saja sepi hidup ini. Tapi Tuhan beri nikmat ada lelaki dan perempuan terasa rahmatNya dari Tuhan. Ingin berhibur ada cara khusus Tuhan lakukan. Begitulah caranya kita akan ceritakan begitu banyak nikmat hingga orang takut dan cinta Tuhan. Orang mengajar sifat 20 hanya sekadar untuk sahkan aqidah, sampai jemu bila dengar kelas sifat 20, jemu. Sedangkan cerita tentang Tuhan patutnya seronok, terasa Tuhan penyelamat, pelindung, terasa Tuhan segala2nya, terasa tak boleh hidup tanpa Tuhan, Tuhan segala-galanya barulah orang rasakan ada Tuhan sangat terhibur. Tapi diajar oleh tok guru kita jangan sampai orang rosak aqidah itu saja, tapi tak diajar sampai orang takut dan cinta Tuhan. Ini adalah satu kesalahan yang paling besar, sedangkan Tuhan itu kalau disyarahkan dengan baik orang rasa Tuhan itu keselamatan dunia akhirat, tiap hari kita harap jangan Tuhan tinggalkan kita, kita perlukan Tuhan, Tuhan adalah segala-galanya. Kita ada Tuhan, kita rasa kuat. Mana ada orang ajar semua itu. Sebab itu bila dengar orang mengajar tauhid jemu. Bagaimana cinta dan takut Tuhan tak diajar? Ini adalah satu kesalahan.

Jadi bila Tuhan kata kena berjuang pada jalan Allah maka promosi Tuhan untuk kenalkan Tuhan pada manusia supaya jangan tuduh Tuhan yang bukan-bukan supaya orang kenal betul Tuhan, lepas itu dilengkapkan seperti yang disebutkan tadi. Sebabnya, bagaimana, boleh membuat hingga orang takut dan cintakan Tuhan itulah apa yang dikatakn Tuhan ajak kita berjuang. Bukannya bila “Mari berperang, berjuang!” maka kita hendak bunuh orang, demonstrasi, lawan orang.


2. Promosikan syariat Tuhan :


Berjuang pada jalan Tuhan itu kita nak kenalkan pada manusia syariat Tuhan. Ertinya cara hidup secara Tuhan atau perlembagaan Tuhan atau undang-undang Tuhan. Perkara aqidah di atas tadi tak begitu banyak perkaranya tapi kalau diceritakan dengan baik terasa indah, terasa kuat dapat Tuhan, terhibur dapat Tuhan. Yang kedua ini syariat, cara hidup jadi banyaklah perkaranya. Walaupun banyak tapi Rasulullah saw memperjuangkannya 10 tahun sedangkan mempromosi Tuhan 13 tahun. Ini menunjukkan promosi dan perjuangkan Tuhan lebih utama dari memperjuangkan syariat. Itulah rahsia kebahagian.

Kita disuruh memperkenalkan syariat Tuhan dalam makan minum, dalam pergaulan, syariat mendidik manusia dalam keluarga, dalam perjuangan, dengan jiran, dalam berekonomi, dalam berkebudayaan, dalam hal perhubungan, dalam pentadbiran, segala perkara bahkan syariat juga menunjuk jalan kepada kita bagaimana cara menyelesaikan masalah dengan sebaik-baiknya. Syariat mengenai semua aspek kehidupan supaya jangan accident satu sama lain di situ ada unsur keselamatan, kasihsayang, kerjasama, rasa bersama, ada unsur-unsur perlu memerlu satu sama lain. Itu syariat Tuhan. Kalau benar-benar kenal Tuhan dan diperjuangkan kemudian dicampur syariat Tuhan maka lagi nampak Islam itu cantik. Sudahlah cantik kenal Tuhan dicampur syariat Tuhan. Terasa Tuhan penyelamat dunia akhirat, Tuhan dan syariatnya sangat diperlukan. Tapi mana diajar begitu rupa. Dalam syariat, yang diajar hanya halal-haram saja tapi falsafahnya, misal mengapa Tuhan suruh, mengapa Tuhan tegah, tak disebut. Tak disebut hikmahnya jadi orang terseksa dengan hukum Tuhan, tak seronok karena approach, pendekatan, penjelasan tak betul.

Jadi itulah yang Tuhan suruh berjuang maksudnya terhadap dua perkara : pertama promosikan aqidahNya, kedua promosi syariatNya. Gabungan dua perkara ini akan terasa indah berTuhan dan indah bersyariat bahkan manusia rasa mabuk dengan Tuhan dan dengan syariat.


B. Maksud “Tidak diberatkan kecuali diri kamu bagi orang mukmin digalakkan”

Maksud “Tidak diberatkan kecuali diri kamu” ertinya hendak berjuang itu kita dulu. Orang lain tak boleh dipaksa ikut berjuang. Untuk orang lain hanya boleh dibagi tahu, digalakkan, diajak sama, didorong. Bukan boleh dikasari, bukan boleh dipaksa2. Yang boleh adalah paksa diri kita. Orang lain hanya didorong, dipujuk, gembirakan mereka dengan perjuangan. Yang kena paksa itu diri kita bukan orang lain walaupun anak isteri, bukannya paksa orang "jom berjuang, kalau tak mau kena tampar, kalau tak nak ikut, aku bunuh," jadilah militan. Itu tak boleh. Dalam ayat ini jelas yang dipaksa dan diberatkan adalah diri kita sedangkan orang lain digalakkan supaya cintakan perjuangan. Inilah peraturan dari Tuhan, ini cara Tuhan suruh kita bersyariat. Diri sendiri kita boleh paksa, orang lain digalakkan.

Kalau begitu bentuknya kita berjuang paksa diri, orang lain kita galakkan. Tujuannya kenalkan Tuhan hingga takut dan cinta Tuhan kedua perkenalkan syariat Tuhan peranannya hingga terhibur dengan Tuhan dan syariat Tuhan.


C. Huraian

“Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir”

Kalau berjuang begitu, rupanya untuk mengalahkan orang kafir bukan tugas kita. Untuk musnahkan orang kafir bukan bahagian kita tapi Tuhan. Kalau berjuang dalam hal mengalahkan musuh bukan kita tapi Tuhan buatkan. Tuhan yang akan menghukum setelah kita buat untuk Tuhan. Kenalkan orang pada ZatNya hingga orang suka dan cinta Tuhan dan kenalkan syariat. Iaitu kita buat kerja Tuhan, Tuhan akan buatkan untuk kita. Orang yang menentang Tuhan, yang akan memusnahkannya adalah Tuhan. Tuhan tahu bagaimana bertindak. Apa yang kita susahkan dengan hal Amerika kuat? orang berjuang mula fikir kekuatan Amerika, takut yahudi, sedangkan itu kerja Tuhan dan kerja kita, kita tak buat. Bila diajak berjuang kita takut mereka. Mereka banyak duit, kaya. Kalau mereka banyak duit, kaya itu bukan kerja kita tapi itu kerja Tuhan. Kerja kita ialah promosi Tuhan dan syariat Tuhan. Kalau selesai kerja kita maka 10 kali Amerika pun Tuhan boleh kalahkan. Kesilapan orang Islam hari ini bila kata berjuang nampak musuh yang kuat, nampak musuh yang jahat. Akhirnya orang Islam jadi lemah semangat ketakutan pada musuh. Padahal Tuhan suruh promosi Tuhan dan syariat Tuhan, kerja terhadap musuh Tuhan punya kerja, itu ketetapan Tuhan. Kalau buat yang Tuhan suruh maka Tuhan buat untuk kita.

Apa fakta yang berlaku dalam sejarah bila buat kerja kita Tuhanlah yang kalahkan musuh-musuhnya? contoh zaman Nabi Musa. Nabi Musa kerja dia kenalkan kepada Firaun dan bani Israel tentang Tuhan. Itu kerja Nabi dan orang bertaqwa. Masa itu dia tak sentuh kerja Tuhan. Bila ditentang oleh Firaun dia tak ajak berperang tapi lari-lari (menghindar). Akhirnya setelah lengkap kenalkan Tuhan, Tuhan buat kerja orang beriman, tenggelamkan Firaun. Apakah Nabi Musa yang tenggelamkan Firaun?

Nabi Nuh berjuang memperkenalkan Tuhan, syariat Tuhan tapi kaumnya bermusuh dengan Nabi Nuh, susahkan dia dan pengikutnya tapi Nabi tak ajak orang-orangnya berperang. Akhirnya setelah buat kerja Tuhan maka Tuhan buat kerja Nabi Nuh, datang banjir besar.

Rasulullah setelah berperang pada jalan Allah, buat kerja Allah, telah datang 3000 malaikat menolongnya. Tuhan buat untuk Rasul dan sahabat. Dalam perang Khandak Tuhan datangkan angin ribut hingga akhirnya lintang pukang, pecah belah musuh, bukan Rasul dan sahabat buat tapi Tuhan yang buat, setelah Rasul dan sahabat buat kerja Tuhan, nampak ini adalah peluang untuk orang berjuang.

Mengapa kita takut dengan musuh bila perkenalkan Tuhan dan syariat? hadapi musuh bukan kerja kita, itu kerja Tuhan yang kuasaNya tak terbatas. Apa kita takut? seolah-olah kita bincang dengan Tuhan aku buat kerja aku, Engkau akan buat untuk aku. Kita hairan bagaimana orang boleh jadi militan dan ganas? Kenapa sebut berjuang tak fikir untuk kenalkan Tuhan hingga orang takut dan cinta pada Tuhan? supaya hasil perjuangan kita orang akan rasa indah, aman damai?

Sedari sekolah, mengaji tauhid tak rasa indah, tak rasa seronok. Mengaji tauhid aqal-aqal jadi letih. Itu saja pendekatannya padahal Tuhan adalah segala-galanya. Dapat Tuhan manusia akan kenyang, indah, dan rasa kuat.

Tok Malau ... Iman dan Taqwa senjata mukmin yang paling ampuh...gunakanlah..

1 SOALAN 10 JAWAPAN


Sepuluh orang pembesar Yahudi telah datang menemui Sayidina Ali k.w.j secara bergilir-gilir. Mereka bertanyakan satu soalan yang serupa dan dijawab oleh Sayidina Ali dengan sepuluh jawapan yang berbeza-beza.

Soalannya: "Yang manakah lebih bermanfaat ilmu atau harta?"

" Tentulah ilmu" jawab Sayidina Ali.

" Apakah alasan tuan berkata dernikian?"

Sayidina Ali menjawab: "Ilmu itu pusaka ataupun warisan para Nabi sebaliknya harta itu pusaka Qarun."

Soalan: "Yang manakah lebih bermanfaat,ilmu atau harta? "

Sayidina Ali pun pun menjawab: "Tentulah iImu kerana ilmu itu menjaga dan memelihara kita, tetapi harta kita pula yang terpaksa menjaga dan memeliharanya."

Kali ketiga Sayidina Ali pun menjawab: "Tentulah ilmu kerana orang yang berharta banyak musuhnya seperti pencuri dan penyamun, dan sentiasa pula bimbang akan hartanya itu. Sebaliknya orang yang berilmu ramai sahabat dan sentiasa selamat. "

Jawapan keempat : "Ilmu lebih bermanfaat kerana harta jika selalu digunakan akan berkurangan, sebaliknya ilmu jika selalu digunakan akan bertambah. "

Jawapan yang kelima: "Ilmu lebih bermanfaat kerana orang berharta kerap dipanggil dengan gelaran bakhil atau cela. Tetapi orang berilmu sering dipanggil dengan nama yang baik dan mulia.

Jawapan yang keenam: "Ilmu lebih bermanafaat kerana harta perlu dijaga supaya tidak dicuri tetapi ilmu tidak perlu menjaganya daripada kecurian."

Jawapan ketujuh: " Ilmu lebih bermanfaat kerana harta akan dihisab kelak tetapi ilmu akan memberi syafaat."

Jawapan kelapan: Sayidina Ali tetap mengatakan " Ilmu lebih bermanafaat kerana harta akan rosak sekiranya disimpan tetapi ilmu tidak akan rosak walau selama manapun disimpan."

Jawapan kesembilan: " Ilmu lebih bermanafaat kerana harta mengeraskan hati tetapi ilmu melembutkan hati."

Dan jawapan yang terakhir untuk pembesar Yahudi yang kesepuluh Sayidina Ali tetap mangatakan ilmu lebih bermanfaat daripada harta kerana pemilik harta selalu merasakan dirinya hebat, malah ada yang merasakan dirinya Tuhan seperti Qarun. Tetapi pemilik ilmu selalu merasakan dirinya lemah dan hamba Allah.

Akhirnya sepuluh orang pembesar Yahudi itu berkumpul semula membincangkan jawapan yang diberi oleh SayidinaAli. Memang benarlah Sayidina Ali seorang yang tinggi ilmunya. Dengan kehendak Allah kesepuluh orang pembesar Yahudi itu pergi semula ke rumah Sayidina Ali untuk memeluk agama Islam.

Kata Sayidina Ali: "Jika datang lagi mereka kepada aku bertanyakan soalan yang sama, aku tetap akan memberikan jawapan yang berlainan sehingga akhir hayatku."

Tok Malau... wahai sekalian yang berilmu...amanahlah dengan ilmumu ... beramallah dengan ilmu serta sebarkanlah...dan cari galilah ilmu dari guru yang mursyid...

05 April 2009

APAKAH YANG KITA PERJUANGKAN


Alhamdulillah, diwaktu ini ramai kita melihat orang-orang perseorangan, jemaah, parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan Islam dalam berbagai bentuk dan ragamnya. Ramai yang mengakui mereka itu pejuang-pejuang Islam.

Ada yang memperjuangkan Islam di bidang politik. Mereka mahu parti mereka memegang tampuk pimpinan negara. Mereka mahu hukum hudud dilaksanakan. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ekonomi. Mereka mahu tegakkan sistem perbankan Islam, sistem takaful Islam, sistem pinjaman wang dan pembelian secara Islam dan sebagainya. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ibadah. Mereka mahukan semua orang datang ke masjid dan surau untuk beribadah dan untuk menegakkan sunnah terutama di bidang ibadah. Mereka mahu orang berusaha untuk mengejar pahala dan fadilat. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ilmu. Buka sekolah, madrasah, kolej dan universiti Islam supaya ilmu Islam dapat dikembangkan dan berbagai-bagai lagi.

Namun semua ini tertumpu kepada hal-hal syariat. Semuanya tertumpu kepada soal lahir. Hudud, ekonomi, ibadah dan ilmu itu semuanya adalah soal lahir dan soal syariat belaka.

Orang-orang dan kumpulan-kumpulan ini nampak gigih berjuang. Mereka seolah-olah berada dimana-mana. Tetapi mereka tidak sedar bahawa perjuangan mereka itu, walaupun dibuat di atas nama Islam, sangat jauh tersimpang dari kehendak Tuhan. Ia jauh tersimpang dari cara Rasulullah SAW berjuang. Perjuangan mereka bukan sahaja tidak lengkap, tidak bulat dan tidak syumul, malahan ia telah lari dari matlamat perjuangan sebenar sepertimana yang Rasulullah ajar kepada kita.

Agama yang Rasulullah bawa terdiri dari tiga perkara pokok, iaitu: • Iman • Islam • Ihsan Iman itu ialah aqidah. Islam itu ialah syariat. Ihsan itu ialah tasawuf. Oleh itu, kalau kita perjuangkan Islam sahaja iaitu syariat, apa pula halnya dengan iman dan ihsan. Dimana aqidahnya. Di mana pula tasawufnya. Syariat tanpa aqidah dan tasawuf tertolak. Tuhan tidak terima. Agama itu bukan syariat sahaja. Ia merangkumi juga aqidah dan tasawuf. Lebihlebih lagilah aqidah sebab ia soal pokok. Memperjuangkan syariat semata-mata tanpa aqidah belum boleh dikatakan memperjuangkan agama.

Perjuangan agama mesti dimulakan dengan iman atau aqidah. Iman dan aqidah adalah soal ketuhanan. Oleh itu, perkara pertama di dalam memperjuangkan agama ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia, supaya manusia kenal Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut dengan Tuhan. Apabila manusia sudah cinta dan takut dengan Tuhan, syariat mudah ditegakkan. Tidak perlu diperjuangkan sangat. Sudah tentu orang yang cinta pada Tuhan akan suka melaksanakan apa sahaja yang Tuhan suruh. Sudah tentu juga, orang yang takut pada Tuhan tidak akan mahu melanggar perintah dan larangan Tuhan.

Matlamat agama bukan syariat. Matlamat agama ialah Tuhan. Khususnya mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan. Hanya dalam kita hendak menyembah, mengabdi diri, berbakti dan membesarkan Tuhan, kita tidak boleh memandai-mandai dan mencipta cara kita sendiri. Itu sebabnya syariat diturunkan. Syariat adalah jalan atau cara untuk kita menyembah, membesar dan mengagungkan Tuhan sepertimana yang Tuhan mahu.

Tidak boleh kita memperjuangkan agama tanpa kita perjuangkan Tuhan dan mempromosikan Tuhan kepada manusia. Tidak boleh kita perjuangkan syariat tanpa kita perjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Nanti akan terjadi dalam perjuangan kita itu tidak ada Tuhan.Dalam pemerintahan kita, tidak ada Tuhan. Dalam hukum hudud kita, tidak ada Tuhan. Dalam ibadah kita, tidak ada Tuhan dan dalam ilmu kita juga tidak ada Tuhan. Takut-takut nanti kita membesarkan syariat tetapi tidak membesarkan Tuhan.

Orang yang hendak Islam dan orang yang hendak Tuhan tidak sama. Orang yang memperjuangkan Tuhan akan dapat Islam kerana Islam itu Tuhan punya. Akan tetapi, orang yang memperjuangkan Islam belum tentu akan dapat Tuhan.

Perjuangan yang tidak ada Tuhan di dalamnya ialah perjuangan ideologi, bukan perjuangan agama. Dalam perjuangan ideologi memang tidak ada Tuhan. Oleh itu, kalau dalam perjuangan kita tidak ada Tuhan, maka samalah perjuangan kita itu dengan perjuangan komunis, sosialis dan demokrasi. Dalam perjuangan agama, mesti ada Tuhan. Malahan dalam perjuangan agama, soal Tuhan adalah soal pokok. Soal syariat, sama ada syariat lahir atau syariat batin (tasawuf), ia jatuh nombor dua.

Jangan kita gunakan hujah bahawa umat Islam sudah kenal Tuhan. Itu sebab mereka Islam. Oleh itu tidak perlu lagi kita bawa mereka kepada Tuhan. Umat Islam hanya perlu memperjuangkan dan menegakkan syariat sahaja.

Hujah itu tidak masuk akal dan sangat jauh dari realiti. Siapa kata umat Islam sudah kenal Tuhan? Siapa kata umat Islam itu Islam kerana mereka kenal Tuhan? Orang yang benar benar kenal Tuhan tidak akan berperangai dan berwatak seperti kebanyakan umat Islam yang ada pada hari ini. Cuba kita tanya, berapa peratus umat Islam yang bersembahyang. Sedangkan meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu kufur hukumnya. Dan orang yang meruntuhkan sembahyang itu sebenarnya meruntuhkan agama. Sedarlah kita bahawa lebih dari 75% umat Islam tidak sembahyang lima waktu secara tetap dan istiqomah? Sedarkah kita bahawa 75% umat Islam kerjanya hari-hari ialah meruntuhkan Islam kerana mereka meruntuhkan sembahyang? Inikah orangnya yang kenal Tuhan? Inikah orangnya yang hendak kita harapkan untuk menegakkan syariat?

Cuba pula kita lihat berapa banyak umat Islam yang terjebak dan terlibat dengan bermacam-macam bentuk maksiat. Baik menagih dadah, minum arak, pergaulan bebas lelaki perempuan, berjudi, berzina, rogol, buang anak, membunuh, mencuri, merompak, pecah rumah, pop, rock, metal dan sebagainya. Inikah kerja umat yang kenal Tuhan? Inikah umat yang layak dan mampu menegakkan syariat?

Percaya Tuhan itu lain. Kenal Tuhan itu lain. Memang umumnya umat Islam percaya Tuhan. Tetapi berapa keratkah umat Islam yang kenal Tuhan. Setakat percaya Tuhan, orang Nasrani pun percaya Tuhan. Orang Yahudi pun percaya Tuhan. Malahan orang Hindu pun percaya Tuhan. Setakat percaya Tuhan sahaja tidak cukup untuk membina aqidah dan pegangan. Tanpa aqidah dan pegangan, jangan kata hendak menegakkan seluruh syariat, hendak mengamalkan fardhu ain atas diri sendiri pun susah. Hendak mengelak dari melakukan dosa dan maksiat lebih-lebih lagi susah.

Orang yang kenal Tuhan ialah orang yang arifbillah. Dia bukan setakat tahu sifat-sifat Tuhan tetapi dia 'merasa bertuhan.' Sifat-sifat Tuhan itu tertanam dan mencengkam hati sanubari dan perasaannya. Di mana sahaja dia pergi dan apa juga yang dia buat, dia sentiasa merasa Tuhan melihatnya, mendengarnya dan mengetahui segala apa yang terdetik di hatinya. Dia rasa hebat, gerun, malu, berdosa dan lemah di sisi Tuhan.

Orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang ada kekuatan untuk menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang akan diberi hidayah dan taufik dan yang akan dibantu oleh Tuhan.

Orang yang hanya setakat percaya dan tahu sifat-sifat Tuhan, mereka ini orang-orang yang lemah aqidah. Mereka dicorak oleh suasana. Mereka tidak mampu mencorak atau mengubah suasana. Kalau suasana rosak, mereka ikut rosak. Mana mungkin orang macam ini dapat menegakkan syariat. Kerja menegakkan syariat ini kerja berat walaupun syariat yang hendak ditegakkan itu syariat yang ringan sahaja. Jangan cakap pasal hudud. Itu berat sangat. Hendak tutup aurat dan pakai tudung pun mereka tidak mampu. Hendak berhenti menghisap rokok pun payah.

Rata-rata umat Islam adalah Islam tradisi. Mereka Islam kerana mak ayah dan datuk nenek mereka Islam. Mereka jadi Islam secara tidak sengaja, sedar-sedar sahaja sudah Islam. Islam mereka bukan di atas kesedaran atau pilihan hati. Mereka tidak kenal Tuhan. Tidak hairanlah mereka tidak kenal syariat. Halal haram pun mereka tidak tahu.

Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat. Syariat hanya cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuangkan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan?

Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam? Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.

Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan? Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran. Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran. Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.

Apakah maksud memperjuangkan kebenaran? Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan. Mengajak manusia kepada Tuhan. Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan. Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal, bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.

Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.

Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.

Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan. Bila disebut kebenaran, ada Iman didalamnya, ada Islam di dalamnya, ada Ihsan di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya. Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu. Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan, kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud. Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan. Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.

Agama Islam itu agama kebenaran. Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan. Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.

Tok Malau..selamat berjuang...