22 April 2009

ISLAM AGAMA FITRAH


Yang dimaksudkan oleh fitrah itu ialah hati atau roh manusia . Sebenarnya roh atau hati manusia mempunyai perasaan. Perasaan itulah agama.

Tetapi bila belum ada perintah dari Tuhan, tidak dinamakan agama. Walaupun belum didatangkan arahan perintah atau larangan dari Tuhan, ia sudah ada dalam diri seseorang. Agama Islam itu adalah agama fitrah, jadi apa yang ada dalam hati seseorang itulah yang Allah suruh.



Kita lihat fitrah ini terbahagi pula kepada dua hubungan yang kedua-duanya terdapat dalam diri manusia iaitu:

1. Ada hubungan dengan Allah
2. Ada hubungan dengan syariat


Allah telah utuskan rasul-rasul untuk menyuburkan fitrah yang telah sedia ada itu sama ada suruhan berbentuk aqidah atau syariat. Berdasarkan itu, agama Islam adalah fitrah semulajadi manusia yang diperlukan oleh roh dan juga fizikal. Hubungan dengan Allah itu umpama makanan roh, sama seperti makanan fizikal.

Contohnya, jika kita suka makan daging, tiba-tiba orang datang bawa hidangan daging kepada kita, betapa indahnya. Sudah tentu kita rasa seronok tidak terhingga.

Ataupun kita suka makan ayam, tiba-tiba orang datang hidang lauk ayam apalagi ianya telah dimasak dengan resepi kegemaran kita, sudah tentu selera kita juga terbuka dan terangsang pada masa itu.

Lain pula jika kita suka makan ikan, orang datang hidang pula lauk yang kita tidak suka iaitu selain dari ikan, jadi tidak indah dan tidak seronok, langsung tertutup selera makan.

Jadi demikianlah dengan fitrah manusia. Kedatangan rasul-rasul itu menyuburkan lagi fitrah semulajadi manusia. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, fitrah hati manusia itu ada dua iaitu aqidah dan syariat.

Fitrah pada Aqidah:

Fitrah manusia itu ingin 'bertuhan'.

Di sini diturunkan contoh yang menunjukkan manusia setuju dengan Tuhan.
1. Bagaimana kalau orang kata, “Awak ni hamba betina.”
Ataupun, “Awak ni hamba duit.”

Kalau orang yang dikata itu tidak sabar, sudah tentu tangan sampai ke muka, sekalipun pada hakikatnya memang betul orang yang dikata itu menghambakan hidupnya kepada wang dan perempuan.

2. Apa pula perasaan setiap orang kalau ada orang berkata kepadanya, “Engkau ini hamba Tuhan,”, “Wahai hamba Allah,” tentu hati berbunga dengan rasa senang dan rasa terhibur walaupun pada hakikatnya orang itu memang tidak sembahyang atau tidak mengerjakan perintah Allah.

Jadi sebenarnya hati, fitrah, perasaan itu adalah agama, iaitu ingin bertuhan dan ingin tunduk kepada Tuhan. Jadi kedatangan rasul-rasul memperkenalkan Tuhan kepada manusia adalah untuk memenuhi fitrah ingin bertuhan itu. Seolah-olah orang yang ingin makan daging ayam, dibawakan lauk ayam.

Tapi persoalannya, apabila diperkenalkan kepada Allah dan Rasul, mengapa ramai manusia yang tidak mahu menyembah-Nya?

Mengapa manusia tidak suka pada Tuhan sedangkan manusia berpijak di atas bumi dan menyedut udara yang Allah jadikan?

Fitrah pada Syariat:


Dari sudut syariat pula, bagaimana rasa hati kita kalau kita tengok ada orang yang pemurah.
Hati kita suka atau tidak? Sudah tentu kita akan rasa senang. Allah juga suka dengan orang pemurah, malah Allah suruh kita jadi pemurah. Kalau kita suka orang pemurah dan Allah juga perintahkan kita jadi pemurah, apa sebenarnya yang menghalang kita jadi pemurah? Ada orang yang tidak boleh tengok orang lain susah. Hatinya mudah rasa kasihan dan hendak menolong.

Jadi kita lihat kehendak Tuhan dan perasaan hati manusia ada persamaan? Belas kasihan Tuhan kepada manusia tiada bandingannya apatah lagi jika hamba-Nya itu redha dengan kesusahan yang dihadapi. Jika begitu mengapa kita masih terasa berat atau tidak mahu menolong orang? Ada orang suka buat baik dengan orang yang buat jahat kepadanya. Walaupun dia dihina atau dicaci dia tetap sabar dan memaafkan orang yang menghinanya.

Kalau begitu kehendak hati kita, kemudian datang pula perintah Tuhan supaya kita jadi orang yang sabar dan pemaaf, hati kita pun setuju. Kalau kita suka kepada orang yang pemaaf, orang lain pun suka begitu. Dalam masa yang sama Tuhan pun perintahkankan kita jadi pemaaf. Jadi perlulah diusahakan untuk jadi orang yang pemaaf. Kalau seseorang itu tidak adil, hati kita pun tidak suka. Datang perintah Tuhan supaya jangan buat perkara itu. Jadi apa yang hati kita suka, itu Tuhan suruh. Apa yang hati kita tidak suka, itu Tuhan larang. Tetapi mengapa kita susah hendak membuat suruhan Tuhan dan payah untuk meninggalkan larangan-Nya?

Fitrah sebenarnya mudah terdedah kepada kerosakan-kerosakan luaran. Sebagai tamsilannya; ada dua biji benih yang sama, kedua-duanya baik. Satu ditanam, dijaga, disiram dan dibaja. Manakala yang satu lagi dibiarkan, tidak dijaga, tidak disiram dan dibaja. Cukup tempohnya kita lihat satu daripada biji benih itu telah tumbuh dengan subur serta berbuah manakala yang satu lagi tidak subur dan tidak berbuah kerana ia didedahkan kepada musuh yang boleh merosakkannya serta tidak diberi makanan yang secukupnya.

Demikian juga manusia, tidak cukup kalau bergantung pada fitrah sahaja. Mengapa begitu? Kerana fitrah yang telah sedia ada itu jika tidak dijaga, dipupuk dan disuburkan ia akan mudah dirosakkan oleh anasir-anasir luaran. Setakat akal sahaja dia tidak akan tahan. Umpama benih yang dicampak begitu sahaja ia tidak akan subur dan tidak membuahkan hasil.

Setelah kita faham peranan fitrah tadi barulah kita dapat memahami bagaimana hendak melatih perasaan supaya tajam. Perasaan boleh ditajamkan dengan menyuburkan fitrah kita tadi dengan rasa kehambaan, rasa takut, rasa cinta, rasa bertuhan, rasa sayang, rasa bersama dan bekerjasama, pemaaf dan memberi maaf dan sebagainya .

Demikianlah sebenarnya Islam itu Allah jelaskan, bukankah sangat indah sehingga manusia tidak rasa jemu? Malangnya hari ini kebanyakan manusia hanya bercakap berdasarkan nas atau hukum-hakam. Mereka tidak menghuraikannya sehingga benar-benar menyentuh fitrah manusia. Maka perasaan manusia tidak jadi tajam, hati pun tidak terdidik. Jadi bagaimana manusia hendak melaksanakan hukum-hakam tadi.

Inilah sebenarnya kerana mereka sendiri tidak faham dan tidak nampak maksud perintah Tuhan itu. Contohnya, Tuhan suruh bersatu. Yang difahami ialah sekadar bersatu. Huraiannya dan maksud ayat tidak difahami. Bila maksud ayat difahami, maka seolah-olah ayat tersebut telah dihafal. Hari ini orang berceramah hanya dengan menghafal ayat dan menghurai berdasarkan nas. Orang ini pun dianggap dialah yang paling beragama. Lebih-lebih lagi kini ramai orang yang hafal Quran dan Hadis kerana ingin menjadi hafiz. Untuk menghafal sahaja sudah ambil masa hingga 10 tahun, bila pula masanya hendak memahami isi Al Quran, sedangkan yang pentingnya ialah memahami isi Al Quran itu dan melaksanakannya. Sebab itu ramai orang yang hafaz Al Quran tapi jumud, tidak berkembang pemikirannya. Sepatutnya mereka yang hafiz ini boleh jadi pemimpin kerana Al Quran ada dalam dada mereka. Sudah tentu mereka dengan mudah boleh menangani masalah masyarakat kerana Al Quran telah menjadi rujukan mereka.

Hari ini jika dilantik pemimpin di kalangan orang-orang yang hanya hafal Quran tetapi tidak memahami maksudnya, belum tentu mereka boleh memimpin manusia, ditakuti pula menjadi semakin rosak. Bila ulama mendidik dengan tidak memikirkan hati dan perasaan sebagai ‘target’, orang akan jadi jemu dan letih. Macam mana manusia hendak berubah, ulama kampung menghurai Al Quran secara kampung, ulama moden pula menghurai secara falsafah, kedua-duanya tidak menjadikan hati dan perasaan sebagai sasaran didikan.

Sebagai tamsilannya, ulama atau pendakwah yang hendak menceritakan Islam kepada orang adalah seperti orang yang hendak menghidang makanan. Jika kita hendak merangsang orang makan, tentu kita rangsang nafsunya. Kita hidang sehingga dia rasa hendak makan. Tapi kalau kita hidang secara lebih kurang, kemudian kita korek hidung, korek telinga di depannya, belum tengok makanan lagi, baru tengok kita pun orang tidak selera hendak makan.

Oleh itu, ulama dan pendakwah haruslah menekan soal kerohanian kerana hanya dengan kerohanian fitrah manusia dapat disentuh dengan berkesan dan disuburkan.Wallahua'lam.

Tok Malau ... post ni tok dengo kuliah masa kat Johor dulu ... syukur masih dalam simpanan... moga bermanfaat kepada para pejuang agar bijak mengatur langkah perjuangan ... kepada arnabun moga berjaya mencari erti perjuangan yang sebenar ... ampun maaf dari tok yang sering lupa dan terlalai... mzb

No comments:

Post a Comment