Salam pertemuan pengunjung budiman ,
Hampir 3 minggu tok 'rehat' dan 'sepi' di arena perjuangan ini..
Sebagai permulaan hayatilah artikel yg tok ambil dari era timur.com kredit buat Ustaz Shuib Sulaiman.
Firman Allah bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum, sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka’
Allah swt dalam firmanNya ini memperkatakan tentang perubahan manusia yang sememangnya bersifat berubah. Namun Tuhan memberitahu bahawa manusia itu sendiri mesti berubah dulu. Hakikatnya perubahan manusia itu datangnya dari Tuhan juga. Tetapi disini Tuhan minta supaya manusia berubah dulu. Ini dengan maksud lahiriah melalui kemahuan dan usaha lkhtiar bukan hakikat. Ertinya kalau manusia mahu berubah mesti ada kemahuan untuk berubah dan diusahakan menempuh jalan-jalan atau sebab musabab untuk berubah.
Kalau UMNO atau mana-mana bangsa atau siapa siapa saja mahu membuat perubahan, mestilah faham maksud sebenar Firman Allah diatas ini. Dihujung ayat itu Allah swt menuntut supaya, ‘Sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.’ Maksudnya kalau mahu berubah mesti bermula dari mengubah apa yang ada dalam diri. Apa yang Tuhan maksudkan dengan ‘apa yang ada dalam diri?’ Yakni mengubah apa yang ada dalam diri manusia yang sifatnya berubah iatu tiga unsur, hati atau roh, akal dan nafsu.
Kalau UMNO tidak tahu yang perlu berubah itu ialah hati atau roh, akal dan nafsu, nescaya UMNO tidak akan berubah.
Kalau UMNO tahu bahawa yang mesti diusahakan berubah itu ialah roh, akal dan nafsu tetapi UMNO menolak atau tidak mahu menerima, nescaya UMNO tidak akan berubah.
Kalau UMNO tahu bahawa yang perlu berubah itu ialah roh, akal dan nafsu tetapi tidak tahu cara atau bagaimana atau kaedah mengubahnya nescaya UMNO tidak akan berubah.
Kalau dalam UMNO tiada pemimpin atau tiada siapa yang mampu membawa perubahan kepada roh, akal dan nafsu, nescaya UMNO tidak akan berubah.
a. Berubahnya hati atau roh adalah dengan rasa bertuhan dan rasa kehambaan atau rasa takut dan cintakan Tuhan atau iman dan taqwa. Hati dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah, sifat-sifat positif. Bersih atau terhindar dari sifat mazmumah atau negatif.
b. Akal pula mesti diisi dengan ilmu-ilmu yang benar, ilmu yang tepat, ilmu yang bermanfaat dan pengetahuan am merangkumi semua aspek.
c. Nafsu pula mesti sentiasa bermujahadah agar sekurang-kurang mencapai nafsu mutmainnah. Lenyapkan nafsu rakus yang amat mudah dikuasai oleh syaitan.
Gabungan pengisian roh, akal dan nafsu inilah akan berlaku perubahan total. Hasilnya nanti UMNO akan benar-benar berubah. Kepimpinan, pembangunan dan kemajuan tidak akan terpisah dari kasih sayang dan akhlak yang mulia. Kalau ini tidak berlaku, UMNO akan terus ditolak oleh masyarakat.
Dalam Perhimpunan UMNO baru-baru ini bergema suara-suara yang mahukan perubahan. Bahkan gema perubahan itu disebut-sebut dimana saja ada UMNO dan merata dunia. Bila bercakap tentang perubahan maka Firman Allah swt diatas yang lazim digunakan. Hanya perbezaannya dalam terjemahan. Seringkali diterjemahkan begini, ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri.’ Tidak salah menterjemahkan dengan perkataan nasib biar pun tiada dalam matan asalnya kalimah nasib. Tidak pula salah, hanya kurang tepat dengan maksud dari kalimah asal Firman Allah tersebut. Namun demikian apabila dari terjemahan pun sudah kurang tepat sudah pasti akan jauh pula menyimpang dari maksud sebenar. Kesannya perubahan tidak akan berlaku.
Tok Malau ... terus berubah dari muda ke tua dan akhirnya goyah dan rebah.
17 June 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment