19 May 2009

LUKMANUL HAKIM... KATANYA SERIBU HIKMAH


Lukmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki. "Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai," kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.

" Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

"Dengar ayah," jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya," katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.

"Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut," kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.

"Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.

"Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki," kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.

Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. "Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing," kata mereka.

"Dengarkah engkau apa yang mereka kata?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.

"Dengar ayah."

"Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,"

Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. "Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!" kata mereka.

Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, "Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?"

"Ya ayah, saya dengar."

"Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini," kata Lukmanul Hakim

Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. "Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!"

"Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?" dia bertanya kepada anaknya lagi.

"Dengar ayah," jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, "Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata."

"Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah."

Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. "Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini."

Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu dengan penuh sangsi.

"Ayahmu memang benar," kata teman ayahnya.

Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya, "Apakah maksud pak cik?"

"Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya."

"Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya."

Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu hikmahnya beribu.

Tok Malau ... genggamlah kebenaran ibarat menggenggam bara api ..biar diri terbakar namun kebenaran dan keyakinan tidak goyah...mzb

17 May 2009

selamat ...

Kita sering melafazkan ucapan selamat , selamat pagi , selamat petang , selamat hari jadi , selamat hari guru , selamat hari ibu dan sebagainya ... ia adalah perbuatan yang baik kerana merupakan satu doa kepada mereka yang kita lafazkan... moga selamat dan diharapkan yang melafazkan juga selamat ..doa mendoakan... maka bertautlah ukhuwah dan kasih sayang ...hidup dalam suasana berkasih sayang merupakan fitrah manusia...
sempena dengan lafaz 'selamat' yang selalu kita lafazkan tok lontarkan idea ... 'PENYELAMAT ' siapakah penyelamat?.. dan apakah ciri-ciri penyelamat? adakah kita juga merupakan seorang penyelamat? bukankah kita beragama Islam..Islam itu selamat dan menyelamatkan...mohon respon dari pembaca budiman dahulu..akan datang tok postkan artikel tentang isu ini.

Tok ambil kesempatan untuk melafazkan ucapan selamat ....

SELAMAT HARI IBU



SELAMAT HARI PEKERJA




SELAMAT HARI GURU



SELAMAT... DAN SELAMAT.. DARI AZAB NERAKA




Tok Malau ... berdoa moga menjadi seorang penyelamat ...paling tidak penyelamat diri dan ahli keluarga...amin!

APA SIFAT YANG PERLU ADA PADA PEMIMPIN?


Ramai orang yang berhasrat untuk menjadi pemimpin, malah berebut pula. Tumbuhnya keinginan itu kerana melihat kepada habuan yang bakal diperolehi. Ini dapat dilihat kepada mereka yang telah dan sedang bergelar pemimpin. Bukan sahaja hidup mereka sendiri kaya-raya, malah kadang-kadang keluarga, suku sakat dan kroni mereka turut memperolehi habuan.

Bukan sahaja harta kekayaan, banyak lagi keistimewaan lain yang diperolehi dengan mudah. Ini termasuklah populariti, sanjungan privacy dan masa bersantai. Ke mana pergi disambut dan diistimewakan. Seolah-olah bergelar pemimpin itu satu tiket untuk memenuhi keinginan dirinya.

Sekiranya kepemimpinan itu diperhitungkan pada aspek lain, umpamanya tanggungjawab, amanah, tugas, beban, dan khidmat nescaya ramai pula yang kecut perut dan menghindarkan diri dari kepimpinan. Andainya rakyat ramai, kebajikan, keperluan, kasih sayang, keselamatan, keselesaan yang mesti dipenuhi oleh pemimpin, nescaya tiada yang sanggup untuk berebut dan menawarkan diri. Terutamanya apabila memikirkan seluruh tanggungjawab tersebut bakal dihisab oleh Allah SWT satu persatu secara terperinci di Akhirat kelak.

Siapa yang layak menjadi pemimpin?

Iaitu orang yang memiliki ciri-ciri kepimpinan dan sanggup meletakkan diri seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dengan sabda baginda maksudnya:

"Pemimpin suatu kaum itu adalah khadam bagi mereka (kaumnya)"(Riwayat Abu Naim)

Khadam merupakan seorang yang mengabdikan diri, merelakan diri memberi khidmat dan melayani tuan atau majikannya. Khadam sentiasa bersedia memikul beban tugas sehingga majikannya puas hati. Khadam itu sendiri akan merasa puas sekiranya segala khidmatnya sempurna tanpa mengharapkan sebarang balasan, habuan dan penghormatan. Bagi dirinya, cukup sekadar memilik keperluan hidup dan dapat menjamin kelancaran tugasnya tanpa sebarang gangguan. Dalam konteks pemimpin (khadam) maka tuan atau majikannya ialah rakyat ramai!

Bagaimana jiwa seorang pemimpin? Iaitu umpama jiwa Saidina Umar Ibnu Khattab apabila beliau berkata: "Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan pertanggungjawabkan ke atas aku di Akhirat kelak."

Kalau sekadar seekor kambing yang patah kaki dan tidak dapat mencari makan tentu tiada pemimpin hari yang ambil hirau. Buktinya, rakyat merintih, keluh kesah dan akhirnya merusuh kerana kesukaran hidup, pun tiada pemimpin yang rasa bersalah. Andainya pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat, tentulah sudah dapat dikesan semenjak 30 atau 40 tahun yang lampau dan bertindak mencari penyelesaian. Tentulah tidak ada rakyat yang mati di Selat Melaka kerana bot pancungnya pecah dipukul gelombang.

Kemajuan mesti dicapai. Teknologi perlu dicanggihkan. Ekonomi wajar meluncur lebih pesat. Produktiviti perlu ditingkatkan. Untuk apa itu semua? Semuanya sebagai alat yang dapat membantu mentaati Allah SWT. Dan bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada kehidupan umat. Itu idealismanya. Realitinya pula bagaimana? Mengapa kemajuan semakin tinggi dicapai, ekonomi semakin pesat,teknologi semakin canggih tetapi Allah SWT semakin dilupakan? Hidup semakin tegang, keluh kesah, kusut dan masih ramai yang terbiar tanpa pembelaan. Rakyat terpaksa bangun dan bertindak ganas untuk menyedarkan pemimpin.

Marilah kita menoleh sejenak kepada keperibadian tokoh negarawan sejati. Peribadi kepimpinan yang membayangi peribadi Uswatun Hasanah iaitu Rasulullah SAW. Hasil buah tangan didikan Rasulullah SAW itu maka lahirah Khulafa' Ar Rasyidin.

Jangan lagi ada suara sumbang bernada sinis, hendak ikut mereka naik unta, makan tamar dan bersenjatakan pedang.

Jangan lupa bahawa mereka adalah orang yang telah berjaya dan termaktub dalam sejarah. Sebahagian mereka telah dijamin memasuki syurga, ertinya Allah SWT telah redha ke atas mereka dan cara mereka. Andainya mereka tidak betul tentulah tiada jaminan Syurga ke atas mereka.

Tok Malau ... mencari pemimpin sejati yang soleh dan memberi impak kesolehannya kepada pengikutnya ..pemimpin yang sangat mementingkan kasih sayang ... kerana kasih sayang mengundang rahmat dan kasih sayang Tuhan.

14 May 2009

RENUNGAN UNTUK PARA GURU

Muqaddimah:
Guru yang cinta dan takutkan Allah , bila murid bersamanya akan merasakan seolah-olah berada bersama dengan ibu dan ayah kandungnya sendiri.

Fenomena? Hakikat? Halusinasi
? :
Pergaduhan sesama pelajar disekolah?
Guru menikam murid?
Murid mengugut guru?
Murid bakar kereta guru?
Apa yang sudah berlaku?
Mengapa mesti berlaku disekolah?!
Dimana maruah guru sebagai pendidik, model pada para murid?


Surat khabar sudah tidak segan silu lagi memaparkan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku di sekolah. Tempat yang selayaknya menjadi sumber kebaikan kini tidak ada lagi kedamaian. Guru tidak lagi dihormati sebagai pendidik, sebagai sumber kasih sayang pada murid-muridnya. Tapi kejahilan, kejahatan sudah mula merebak antara guru dengan murid, begitu juga sebaliknya? Apa sudah jadi dengan dunia pendidikan hari ini?

Apakah benar anda seorang GURU? Sedangkan murid tidak lagi memandangmu sebagai manusia yang perlu disayangi, tapi dimusuhi dan dibenci?

Apakah engkau guru yang bercakap dan bersikap? Tapi buktinya murid tidak pun melihat cermin kebaikan padamu? Apakah anda guru yang berkata dan mengkota? Tapi tidak pun terlihat watak ayah dan ibu sebagai penyayang pada dirimu?

Tentulah anda boleh menjawabnya.

Bercakap memang mudah, tidak semudah bersikap. Berkata sangat mudah, mengkota cukup susah rupanya. Kalau anda seorang guru yang berkata dan mengkota, sudah tentulah anda guru yang mendidik dan menjadi contoh serta mampu menjadi role model pada murid. Jika anda guru yang bercakap sahaja, anda sebenarnya bukan guru. Ertinya anda hanya berperanan sebagai penyampai maklumat atau hanya sekadar memberitahu satu ilmu.

Kalau anda seorang guru yang bercakap dan berbuat, anda akan dihormati. Murid-murid akan kasih dan sayang serta taat pada anda. Kalau murid-murid anda ganas, tidak mendengar cakap, susah hendak didisiplinkan, koreksilah diri anda....Suluhlah diri anda, apakah anda orang yang taat? Guru ibarat kayu, bila kayu lurus, luruslah bayangannya. Bengkok kayu bengkoklah bayangannya. Begitu pula guru yang baik, maka akan baik pulalah murid-muridnya.

Kalau ada sesetengah yang nakal itu biasalah. Itu untuk menguji kesabaran anda sebenarnya. Oleh itu sebelum anda check murid-murid, tengoklah diri anda terlebih dahulu. Bertanyalah pada diri anda,apakah anda seorang penyampai maklumat atau seorang guru yang mendidik. Ia menjadi perantara untuk murid kenal pada Tuhan sebagai sumber kasih sayang. Cinta dan takut Allah adalah sumber kekuatan yang besar nilainya untuk diagihkan oleh seorang guru pada muridnya.

Siapa guru sebenar?... Anda ingin tahu?!

Kecintaan dan takutnya pada Allah membuatkan murid-muridnya amat menyayanginya. Ketiadaannya membuatkan murid-muridnya terlalu merinduinya. Guru yang cinta dan takutkan Tuhan, bila murid bersamanya akan merasakan seolah-olah berada bersama dengan ibu dan ayah kandungnya sendiri. Padanya ada kasih sayang dan pertautan hati yang cukup rapat. Duduk-duduk bersamanya terasa ada keselamatan. Mendengar kata-katanya terasa menyejukkan jiwa dan boleh menjadi kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup di dunia. Diamnya ada isyarat ketenangan pada jiwanya. Melambangkan kewibawaan seorang guru yang membuatkan murid semakin hormat padanya sekalipun tidak dimintanya.

Guru bekerja bukan kerana upah,sebab cukup yakin Allah sebagai sumber rezeki untuknya. Rezekinya melimpah ruah hasil keberkatan ilmu-ilmu Allah yang disalurkan melalui lidahnya. Guru makan gaji dengan Tuhannya bukan bersandar dengan institusi pendidikan yang ada semata-mata.

Tok Malau ... seorang syeikh ( Abu Fida' ) bg artikel ni kat tok ..untuk tok muhasabah diri... tok kongsikan dengan cucu-cucu tok semua... eemm ... moga dimudahkan tok menjadi guru yg sgt mencintaiNya ... tebal kasih sayangnya ... berjiwa penyelamat... doa mendoakan ye. mzb

13 May 2009

LOBAK ,TELUR DAN KOPI


Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Dia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Dia mengisi 3 periuk dengan air dan meletakkannya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk tersebut mendidih. Ia memasukkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan ia meletak serbuk kopi di periuk terakhir.

Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan meletakkannya di mangkuk, mengangkat telur dan meletakkan di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya.

Lalu ia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur, dan kopi" jawab si anak.

Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Dia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak.Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, dia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras.

Terakhir, ayahnya memintanya untuk menghirup kopi. Si anak tersenyum seketika, menghirup kopi dengan aromanya yang sungguh enak itu.

Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, Ayah?"

Ayahnya menerangkan bahawa ketiganya telah menghadapi kesulitan yang sama, perebusan, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah.
Cengkerang tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.


"Kamu termasuk yang mana?," tanya ayahnya.

"Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui... Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau serbuk kopi?"

Iktibar :
Apakah anda adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau adakah kamu adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamik? Namun setelah adanya kematian, patah hati,perceraian atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kamu menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati
yang kaku?

Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksima pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat.

Jika kamu seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik.

Tok Malau ... sambil menghirup kopi 'Pecah Beling ' hati tua tok berbisik ".. nak jadi macam kopi tu ..." .. jemput minum cucu tok semua ...

TOLAK KEZALIMAN DENGAN KEBAIKAN DIRI


Tolaklah kezaliman manusia dengan kebaikan diri
Mengadulah kepada Allah selalu
Dan cara bertindak berserahlah kepada Allah
Memohon ampunlah kepada Tuhan sebanyak-sebanyaknya
Akuilah bahawa berlakunya penzaliman itu
Disebabkan dosa-dosa kita
Jangan memaki-hamun dan menghina si penzalim

Tapi doakanlah mereka agar mereka mendapat petunjuk
Sabarlah di atas kezaliman mereka
Cepat membaiki diri, cepat pulalah Tuhan menyelesaikannya
Kezaliman manusia, jangan membalas penzaliman dengan penzaliman
Akan berlaku nanti penzaliman itu bertambah besar dan merata negara
Ia adalah hukuman dan pembalasan terhadap rakyatnya yang derhaka
Oleh itu para ulama dan pemimpin masyarakat
Ajak rakyat bertaubat banyak-banyak
Baiki diri, bersihkan hati atau jiwa

Doakan si penzalim agar diberi hidayah oleh Tuhan yang mencipta
Bukan secara menghasut-hasut rakyat menumbangkannya
Cara itu boleh menimbulkan huru-hara di dalam negara
Yang akan mendapat kesusahan semua rakyat jelata
Ertinya kita telah melakukan penzaliman kepada manusia pula
Berhati-hatilah bertindak terhadap penzalim
Nanti kita pun menjadi penzalim juga


Tok Malau...dari satu sudut pandangan yang berbeza ... pandangan golongan tasawuf yang sangat sensitif menjaga hati ...respon dari kemelut politik negeri tempoyak ,
ampun dan maafkan tok...

12 May 2009

MARI MENGENAL MANUSIA


Memperkatakan tajuk "Mari Mengenal Manusia" ertinya mengajak manusia mengenal dirinya. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya."
Jadi kita hendak mengenal diri kita sendiri. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Semakin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.

Perkataan manusia itu dalam Bahasa Melayu. Dalam Bahasa Inggeris disebut human being manakala Bahasa Arab disebut insan. Insan itu kalau diterjemah ke dalam Bahasa Melayu ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa manusia ialah makhluk pelupa. Bila disebut manusia atau insan, ia bukanlah satu benda yang gah. Kalau disebut, "Mari kita kenal intan," ia suatu yang berharga dan menarik. Tetapi kalau disebut, "Mari kita kenal orang pelupa," tidak ada yang indah. Intan tidak ada rasa bangga walaupun ia bernilai tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata manusia ini makhluk pelupa?
Mari kita kenali makhluk pelupa iaitu manusia. Makhluk pelupa atau insan ini, ada empat unsur yang paling penting padanya. Kalau empat unsur ini tiada, dia bukan manusia atau bukan makhluk pelupa. Mungkin ia malaikat, binatang, syaitan atau jamadat iaitu benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah.

Pada diri manusia ada empat unsur yang sangat penting. Ia merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Satu sama lainnya, saling perlu-memerlukan. Jika terdapat salah satu yang tidak boleh bekerjasama, akan berlaku kerosakan. Oleh kerana itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicengkam untuk membolehkan manusia berfungsi dan bergerak. Unsur-unsur itu adalah:
1. Fizikal (atau dalam bahasa Arabnya, jawarih)
2. Akal
3. Nafsu
4. Roh


PERANAN EMPAT UNSUR PADA MANUSIA
1. FIZIKAL
Anggota lahir adalah rakyat dalam diri. Ia merupakan alat yang digunakan oleh roh, akal dan nafsu. Fizikal lahir taat sahaja. Jika tiga unsur tadi tidak aktif, fizikal pun tidak aktif, menjadikan manusia itu seorang yang kaki tidur. Oleh kerana akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir atau fizikal tidak pandai berfikir atau merancang. Ia hanya menunggu arahan, menjadi rakyat dalam kerajaan diri.

2. AKAL

Kita perlu mengenali akal kerana ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranan atau kerjanya menerima maklumat, pengalaman, ilmu, kemudian masuk ke otak, diproses dan disimpan. Bila perlu ia dikeluarkan semula. Proses itu dikatakan berfikir. Contohnya bila melihat cawan, maklumat itu masuk ke dalam otak, lalu ia berfikir tentang bentuknya, warnanya, diperbuat daripada apa, saiznya, gunanya, cantik atau tidak dan sebagainya. Dia tidak biarkan sahaja maklumat itu. Ini menandakan otaknya aktif. Kebanyakan umat Islam hari ini, tidak mengajak akalnya bekerja. Walaupun maklumat-maklumat sudah diperolehi, akalnya tidak memproses maklumat itu, menjadikan akalnya pasif.

Pernahkah kita melihat kilang beroperasi? Ada kilang yang tidak menggunakan mesin. Prosesnya secara manual iaitu menggunakan tangan. Ada kilang menggunakan mesin yang terhegeh-hegeh dan ada kilang menggunakan mesin yang canggih. Kalau secara manual, satu jam baru kuih boleh siap. Kalau menggunakan mesin canggih dalam masa satu minit boleh siap. Begitulah juga otak manusia, ada yang laju dan ada yang perlahan. Bila akal laju, dengar maklumat sahaja, ia boleh terus proses dan keluarkan maklumat. Akal yang perlahan, lambat memproses maklumat kerana tidak dilatih. Ini sangat merugikan.

Peringkat-peringkat Akal Manusia
Akal ada banyak peringkat iaitu:
a. Genius atau dalam Bahasa Arab, 'abqari
Genius itu pula ada di pelbagai bidang. Contohnya di bidang kedoktoran, ada seorang genius. Di bidang engineering, ada seorang genius. Dalam apa jua bidang, genius ini, dalam seratus tahun ada seorang. Genius itu manusia luar biasa yang bukan nabi. Genius ialah orang pertama yang membuat penemuan dalam apa-apa bidang. Dengan kata-kata lain, genius ialah pembuat matan. Ilmu itu betul-betul darinya. Dia originator. Kalau orang Islam, di bidang syariat, geniusnya ialah Imam Syafie dan di bidang tasawuf, Imam Ghazali.

b. Cerdik
Akal yang cerdik, bila dapat satu benda yang telah ditemui oleh orang pertama atau genius (pembuat matan), dia boleh hurai. Kalau orang pertama, dapat matan satu jilid, orang yang cerdik ini akan kaji dan hurai hingga dapat 10 jilid. Bagi orang yang tidak bersekolah, tentu menganggap orang yang boleh membuat 10 jilid itulah yang lebih bijak. Hakikatnya orang yang dapat membuat satu jilid itulah yang paling bijak kerana dia seorang genius yang dapat menghasilkan matan. Yang membuat 10 jilid itu hanya menghurai.

c. Cerdik sederhana
Iaitu pembuat hasyiyah. Dari 10 jilid tadi, pembuat hasyiyah boleh hurai hingga menjadi 20 jilid. Imam Syafie mengarang kitab Al Umm menjadi satu jilid kecil (matan). Dari Al Umm, terhasil pula kitab Tuhfah dan Majmuk oleh mereka yang memiliki akal yang cerdik dan cerdik sederhana ini.

d. Sederhana
Golongan ini ramai. Mereka boleh menerima ilmu tetapi tidak pandai hendak mengeluarkannya semula. Mereka faham tetapi susah hendak keluarkan.

e. Lemah
Golongan ini hanya faham yang asas-asas. Kalau diberi lebih daripada itu, mereka jemu dan tidak boleh faham.

f. Dungu
Perkara yang asas pun susah untuk mereka faham.

Kebanyakan manusia secara umum, akalnya seperti peringkat ketiga dan keempat iaitu cerdik sederhana dan sederhana. Peringkat pertama iaitu genius hanya berlaku 100 tahun seorang. Kita boleh agak akal kita di peringkat mana. Kalau rasul, dia special case. Dia tidak boleh dikatakan genius atau abqari. Ada istilah tersendiri iaitu dia dikatakan fathonah. Selain rasul tidak boleh dikatakan fathonah walau hebat macam mana pun. Rasul special case. Otaknya boleh terima wahyu. Kalau otak biasa terima wahyu, boleh mati. Bukti Rasulullah SAW memiliki otak yang fathonah, kadang-kadang ketika sedang naik unta, datang wahyu, terduduk unta itu di atas tanah. Peluh Rasulullah keluar sebesar biji jagung. Itu pun mungkin satu dua ayat sahaja yang turun tetapi unta pun terduduk. Jadi kalau otak tidak seperti rasul, dapat satu ayat wahyu pun tidak ada manfaat kerana boleh membawa maut.

Dalam masyarakat insan yang tidak bersatu dan tidak ada kasih sayang, ramai orang yang otaknya cerdik tetapi terbiar. Di sinilah rahsianya kemunduran umat Islam. Hari ini ada berapa ramai profesor. Orang kata profesor hebat tetapi dia jadi profesor bukan sebab dia cerdik. Otaknya sederhana tetapi dia diberi peluang. Ibu bapanya mungkin kaya atau dia dibantu oleh orang-orang tertentu. Sedangkan mungkin ada anak orang miskin yang begitu cerdik dan bijak tetapi orang tidak ambil peduli. Sekolah sampai darjah enam. Sebab itu umat Islam sudah tidak membangun sejak 700 tahun dahulu. Orang-orang cerdiknya terbiar. Ini sangat merugikan.

Banyak otak cerdik terkorban kerana tidak dapat peluang. Sebab itu, tidak perlulah tengok 100 tahun yang lalu. Kita ambil bukti yang agak dekat iaitu 50 tahun lalu. Dalam bidang bahasa, tidak ramai orang Islam, khususnya orang Melayu yang jadi pendita. Hanya ada seorang iaitu Zaaba. Apakah tidak ada orang lain yang cerdik? Ada tetapi terpinggir. Masyarakat kampung tidak peduli. Sebab itu profesor ramai tetapi tidak ada seorang pun jadi pendita. Berapa ramai profesor yang ada, tetapi tidak ada seorang pun yang boleh hasilkan 50 buku. Yang ada, tesisnya sahaja. Akhirnya umat Islam rugi. Orang Islam sekarang tidak lagi boleh mencabar dunia.

Semenjak 50 tahun yang sudah, mana ada lahir seorang pujangga selepas kematian Hamka dan Agus Salim. Kenapa? Sebab yang cerdik tidak diberi peluang. Yang berilmu sekarang ini, orang yang tidak cerdik tetapi diberi peluang. Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu. Selepas Agus Salim, Hamka, Mustafa Abdul Rahman, mana ada penulis besar. Penulis artikel ramai tetapi penulis buku-buku tebal, tidak ada. Mana ada pengganti. Sebab orang-orang pandai sekarang bukan sebab otaknya baik tetapi sebab diberi peluang. Orang yang otaknya geliga, tidak sekolah. Dia tidak mampu. Masyarakat biarkan. Akhirnya negara yang rugi.

Bagaimana Mengasah Akal yang Lemah
Orang yang otaknya memang lemah, kalau dia mujahadah, dia belajar, dia boleh jadi pandai tetapi tidak cerdik. Cerdik itu anugerah Tuhan. Mungkin dia boleh jadi profesor.
Pandai dan cerdik itu berbeza. Pandai itu kerana banyak belajar dan kumpul ilmu. Cerdik itu otak yang tajam. Orang pandai tidak semestinya cerdik. Kalau orang itu pandai dan cerdik, itu lagi hebat.

Hamka tidak ada kelulusan. Agus Salim dan Mustafa Abdul Rahman juga tidak ada kelulusan. Zaaba setakat sekolah menengah tetapi dia dapat jadi pendita. Mereka itu cerdik. Kalau diberi peluang, mereka boleh jadi pandai.
Otak macam kita, kalau hendak jadi pandai, kena usaha lebih tetapi kalau otak cerdik, mengaji lebih kurang sahaja sudah memadai.Mao Tse Tong, ketua komunis China yang ada dua juta pengikut hingga Barat dan Amerika tercabar. Dia hanya peon (office boy). Genius otaknya. Dia jadi peon di sebuah universiti. Dia tidak ada peluang belajar. Dia hanya mencuri-curi dengar kuliah hingga akhirnya boleh mencabar Amerika dan Barat.

Kaitan Akal dengan Pancaindera

Pancaindera itu akan aktif bila akal, nafsu dan roh sudah aktif. Kalau roh tidak aktif, akal tidak berfikir, nafsu tidak bertindak, fizikal termasuk pancaindera pun tidaklah aktif sebab ia adalah rakyat atau tentera. Kalau tidak diarah, ia tidak aktif.

Kesan dari Pancaindera yang Cacat
Lihat saluran mana yang penting. Antara mata dan telinga, telingalah yang penting. Orang buta, kalau telinganya boleh dengar, dia boleh jadi pandai. Tapi kalau orang tidak boleh dengar, otak cerdik pun tidak guna sebab saluran maklumat sudah terputus. Bagi orang yang cacat mata dan telinganya serentak, itu dianggap tidak mukalaf, dia masuk Syurga percuma.

Bentuk-bentuk Ilmu
Ilmu ada dua yakni:
i. Ilmu kasbi
Yakni ilmu yang diperolehi dari hasil usaha. Kena belajar, kena mentelaah, kena berguru dan kena masuk sekolah.
ii. Ilmu wahbi
Yakni ilmu yang datang dari Tuhan, yang dianugerahkan tanpa usaha. Kalau bagi rasul, ianya wahyu. Kalau bagi wali, ia adalah ilham. Ilham itu ilmu laduni.

3. NAFSU
Nafsu peranannya berkehendak. Dia pendorong. Tanpa nafsu, manusia tidak boleh hidup sebagai manusia. Kalau nafsu itu terdidik, ia akan mendorong manusia kepada kebaikan dan kepada mentaati Tuhan. Kalau ia tidak terdidik, ia akan mendorong kepada kejahatan dan jalan syaitan. Ia akan jadi kawan dan kroni syaitan. Tuhan berfirman:

Maksudnya: "Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan." (Yusuf: 53)
Nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Ia adalah musuh dalaman. Musuh kedua adalah syaitan. Syaitan musuh luaran. Syaitan meniti di atas nafsu. Nafsu ini ada peringkat-peringkatnya. Peringkat-peringkat nafsu ini akan dibahas kemudian.

4. ROH
Roh itu dikatakan juga hati atau jiwa. Peranannya ialah untuk merasa. Merasa susah, senang, suka, duka, takut, cemas, bimbang, risau, resah, gelisah, gembira, sedih dan sebagainya.
Ia raja di dalam diri. Roh terbahagi kepada dua iaitu:
a. Ruhul hayah
b. Ruhul tamyiz

Ruhul Hayah
Roh ini terdapat pada semua makhluk yang bernyawa termasuk manusia, malaikat, jin, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ruhul hayah ini peranannya ialah menghidupkan.

Ruhul Tamyiz

Ia dinamakan juga ruhul amri. Ia roh yang berperanan menjadikan makhluk itu mukalaf, yakni yang bertanggungjawab untuk membangunkan syariat. Ruhul tamyiz memikul beban untuk membangunkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Makhluk yang mempunyai ruhul tamyiz termasuklah manusia, malaikat dan jin.

Roh manusia itu sensitif dan selalu berubah-ubah. Sekejap baik dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat hingga susah kita hendak mengesannya. Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua iaitu:
i. Sifat-sifat mahmudah (sifat baik atau positif) seperti zuhud, ikhlas, tawadhuk, amanah dan lain-lain.
ii. Sifat mazmumah (sifat keji atau negatif) seperti riyak, ujub, sombong, pemarah dan sebagainya.

Tok Malau ...ini adalah isi kuliah masayeikh tok... sangat bermanfaat untuk tok dalam mengenal diri..tok kongsi untuk para pembaca yang budiman... moga kenali diri , hiasi peribadi dengan sifat dan watak hambaNya ...ampun maaf.

11 May 2009

YANG BIASA DAN LUAR BIASA


1. Sembahyang
Yang biasaRamai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih "Better late than never" menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.

Luar biasa
Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 15 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa .

2. Sedeqah
Biasa
Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Allah.

Luarbiasa
Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Allah.

3. Berjaga malam
Biasa
Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau melayan VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.

Luarbiasa
Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Allah, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.

4. Kerja
Biasa
Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Allah punya kuasa.

Luarbiasa
Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Allah. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Allah. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Allah sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Allah . Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.

Tok Malau.. jadilah orang yang luar biasa..tirulah Ar Rasul kerana baginda adalah manusia luar biasa yg sangat hebat luarbiasanya. Bersedia menjadi orang luar biasa..pasti diuji kerana hidupnya luar biasa tak macam orang lain yang biasa2 je.
Mari cucu tok semua renung-renungkan...
ampun maaf

RAHSIA KEJAYAAN PENDIDIKAN RASULULLAH

Sistem pendidikan Islam menjadikan pendidikan Rasulullah SAW sebagai model dan ikutan. Rasulullah mendidik manusia bukan dengan ilmunya dan bukan dengan fikirannya yang direka-reka. Selaku pesuruh Allah, baginda mendapat wahyu dari Allah. Rasulullah SAW tidak menambah atau mengurangkan kehendak Al Quran dan Sunnah dalam pendidikan yang diwujudkannya. Apa yang terkandung di dalam Al Quran dan Sunnah itulah saja bahan-bahan dan cara yang dipakai, yang telah berhasil mengubah bangsa Arab menjadi bangsa yang besar, dihormati dan penting dalam sejarah. Dalam waktu hanya 23 tahun saja, pendidikan Rasulullah SAW sudah berhasil mengubah manusia-manusia gurun yang liar menjadi malaikat-malaikat berupa manusia yang mampu menguasai 3/4 dunia dengan iman dan kasih sayang.

Al Quran dan Sunnah membahagi pendidikan kepada dua tahap: tahap Makkah dan tahap Madinah. Di tahap Makkah, Rasulullah membangunkan 'insan' bermula dengan keimanan. Sedangkan di Madinah, baginda mulai membangun fizikal, akal dan mental.

Punca kejayaan Rasulullah yang paling utama ialah kerana baginda belajar dengan Allah tentang bagaimana mendidik manusia. Oleh kerana Allah yang mencipta manusia dan seluruh alam ini, maka Dialah yang paling tahu cara-cara mendidik manusia. Manusia, walau bertaraf nabi atau wali atau ustaz atau Perdana Menteri atau ahli falsafah sekalipun, tentu tidak semampu Allah dalam menyelesaikan berbagai masalah. Sebab itu siapa yang merujuk kepada Allah dan Rasul yakni Al Quran dan Sunnah, insya-Allah akan berhasil mengulangi sejarah kejayaan Rasulullah.

Bila dikaji secara ringkas, bahan pendidikan melalui A1 Quran dan Hadis yang diamalkan Rasulullah SAW adalah sebagai berikut:
1. Mendidik jiwa tauhid agar tumbuh rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT. Ini dibuat dengan membawa manusia berfikir tentang kebesaran Allah, kuasa Allah, kehebatan Allah, kebaikan Allah, rahmat Allah serta nikmat-Nya.

2. Mendidik hati agar rasa rindu dengan Syurga Allah, rahmat Allah, keampunan Allah, bantuan Allah dan lain-lain. Ini dilakukan dengan menyebutkan khabar-khabar gembira (tabsyir) tentang perkara-perkara tersebut.

3. Mendidik iman dan taqwa di hati agar manusia merasa gerun dengan Neraka dan azab Allah, serta ancaman-ancaman dan kemurkaan Allah. Hal ini didapati dengan menyebut perkaraperkara yang menakutkan manusia (tanzir).

4. Mendidik manusia agar melakukan amal soleh dan berakhlak mulia . Untuk itu, Al Quran banyak menceritakan sejarah hidup para nabi, rasul dan orang-orang soleh yang patut dijadikan panduan hidup manusia.

5. Mendidik manusia agar menghindari sifat-sifat jahat dan agar selamat dari api Neraka. Maka diceritakan perihal orang-orang jahat atau musuh Allah seperti Firaun, Namrud, Qarun, Haman dan lain-lain.

6. Mendidik manusia agar memiliki sikap hidup yang khusus sebagai seorang Islam, agar selamat di dunia dan di Akhirat. Maka Al Quran mengajarkan tentang syariat atau undang- undang Allah. Ada perkara haram dan makruh yang perlu dijauhi. Ada pula perkara wajib, sunat dan harus yang perlu buat.
Demikianlah secara ringkas garis panduan tentang bahan-bahan pendidikan Rasulullah. Mengikutinya akan menjadikan seseorang itu beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dengan Allah dan dengan dapat kita lihat pada peribadi Rasulullah dan para Sahabat, merekalah orang yang paling banyak melaksanakan bahan-bahan didikan itu.

Tok Malau... Pendidikan Rasulullah tersendiri..La Syarqiyyah Wa La Gharbiyyah.. Tidak Timur dan Tidak Barat..sesungguhnya pendidikan rapat dengan rohaniah manusia.

10 May 2009

KISAH WALI ALLAH YANG KASYAF

Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara beramai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.

Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata:

“Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai,Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”

Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.

Tok Malau ... sukarnya membuang dunia yg melekat di hati , ilmu tentang ikhlas mudah dikuliahkan...tapi untuk me'rasa' sifat ikhlas itu terlalu sukar...lemahnya jiwa ini untuk menghayati 'keikhlasan' beribadah kerana tidak mengenali dan menghayati keagungan serta kebesaran Rabbii ...Ya Allah bantulah hambaMu ini.

08 May 2009

ANTARA MENCORAK DAN DICORAK


Melihat episod demi episod rentetan peristiwa semasa pergolakan politik di Malaysia hari ini dan yang terkini di Perak, membuat kita seakan bermimpi kerana tidak pernah sekalipun mungkin di antara kita yang terfikir hal-hal begini akan berlaku. Pada yang prihatin kepada pergolakan isu semasa ini tentu ada rasa cemas dan rasa sedih kerana melihat pertembungan pendapat dan pertentangan fikiran yang membuahkan bibit-bibit permusuhan dan pergeseran di antara sesama islam. Mengapa berlaku hal yang sedemikian ini?

Pemimpin
dan kepimpinan sebenarnya amat mencorak dan mempengaruhi masyarakat yang dipimpin di bawah tanggungjawabnya. Rentak dan budaya masyarakat yang berada di bawah kepimpinanan pemimpin mencerminkan keperibadian sebenar pemimpin tersebut. Dengan kata lainnya, masyarakat dicorak oleh pemimpinnya.

Lihat sahaja di zaman kepimpinan Ar Rasul SAW, masyarakat yang dipimpin oleh Ar Rasul SAW mampu menjadi masyarakat yang dipanggil salafussoleh sehingga 300 tahun lamanya walaupun sesudah baginda wafat. Inilah cerminan kepimpinan yang agung dan patut diambil teladan dan dicontohi sungguh-sungguh oleh masyarakat Islam hari ini. Walaupun Rasulullah SAW sudah tidak bersama kita lagi, tetapi panduan yang telah beliau tinggalkan kepada kita dan kasih sayang beliau kepada umatnya tetap akan sentiasa menjadi penyegar jiwa kita untuk terus cuba meniru dan mengikuti setiap ajaran yang beliau telah sampaikan.

Pentingnya pemimpin adalah untuk mengajar, mendidik dan memimpin rakyat kepada jalan kebenaran, keadilan, keselamatan dan kebahagiaan hidup yang hakiki dunia dan akhirat. Dengan kata yang lain, pemimpin bertanggungjawab untuk membuat rakyat dan negara aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.

Untuk itu, pemimpin bukanlah boleh sebarang orang. Bukan terlantik hasil diundi atau hasil merebut-rebut jawatan atau hasil menonjolkan diri. Pemimpin bukan juga dipilih kerana ada kelulusan atau ijazah. Kelulusan dan ijazah dunia tidak relevan dan bukan syarat untuk menjadi pemimpin. Sebab pemimpin bukan bekerja untuk mendapatkan rezeki dan tidak juga untuk mencari publisiti. Lebih-lebih lagi bukan untuk mengaut harta dan kekayaan.

Tugas pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan umat di dunia dan di Akhirat. Untuk itu, dia hendaklah orang yang betul-betul boleh membuat kerja tersebut. Dia mesti ada karisma kepimpinan yang Tuhan bekalkan kepadanya, ilmu kepimpinan, watak semula jadi, latar belakang kehidupan dan didikan awal yang sesuai untuk melayakkan dia dapat membawa umat kepada keselamatan dunia dan Akhirat. Kalau dia bukan orangnya dan dia tidak layak, akan rosak umat dan rakyat dikerjakannya. Selamat atau tidak sesebuah negara banyak bergantung kepada pemimpin. Sebab itu, Islam ada menetapkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang pemimpin.

Pemerintah yang adil pernah wujud dalam sejarah tetapi banyak yang tidak lama pemerintahannya. Namun ia tidak sebanyak pemerintah yang tidak adil atau zalim. Di antara pemerintah yang adil yang pernah muncul dalam sejarah mengikut ukuran dan nilai Islam ialah Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin, Sayidina Umar Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.

Malangnya kita lihat hari ini, masyarakat seperti hilang punca, bertindak nafsi-nafsi, kasar, keras, pemarah, pendendam, dan sebagainya. Apakah itu memberi kegambaran kepada kita tentang kepincangan kepimpinan yang pemimpinnya terlalu jauh dari mencontohi kepimpinan RSAW? Apakah juga fenomena kekecohan kepolitikan di Malaysia hari ini kerana kita semua sudah melupakan ajaran Rasulullah SAW dan panduan baginda dan dengan kata lainnya, kita sudah tidak meletakkan Allah SWT sebagai tempat rujuk yang sebenar?

Sebenarnya, pemerintahan Islam bukan wakil rakyat. Pemimpin bukan dipilih oleh rakyat, bukan memperjuangkan hasrat rakyat, bukan bersuara mengikut suara rakyat atau bertindak mengikut kehendak rakyat. Dasar pemerintahannya juga tidak ditentukan oleh rakyat.

Dalam Islam, pemerintah adalah wakil Allah.

Dalam Islam, pemerintah umum yang tertinggi ini juga disebut khalifah, yakni khalifah Allah. Ertinya pengganti Allah atau wakil Allah di bumi. Mereka bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja yang Allah perintahkan kepada mereka terhadap rakyat. Kerja-kerja ini termasuklah berkhidmat kepada rakyat, memimpin, mendidik, mengajar, mentadbir, mengurus, menyelesaikan masalah rakyat, membangunkan dan memajukan negara dan masyarakat.

Allah mahu hamba-hamba-Nya semua diurus dan ditadbir dengan baik agar mereka semua di dunia ini mendapat layanan dan hak-hak yang sepatutnya mereka dapat dari Allah SWT. Untuk itu segala harta benda, kekayaan dan khazanah perbendaharaan termasuk kekayaan sumber alam semula jadi diserah kepada pemerintah. Supaya mereka agih-agihkannya dengan adil kepada rakyat dan menggunakan sebahagiannya untuk menyediakan serba-serbi keperluan rakyat dan negara. Supaya negara berada di dalam keadaan aman, makmur dan mendapat keampunan Allah seperti dalam firman-Nya:

Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. " (As Saba': 15)

Oleh kerana pemerintah itu adalah pengganti Allah dalam menjalankan keadilan di kalangan manusia, maka Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar taat kepada pemerintah sesudah taat kepada Allah dan kepada Rasul.

Firman Allah Taala:
Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan yang mempunyai kuasa di kalangan kamu. " (An Nisa': 59)

Ketaatan kepada pemerintah, ulil amri atau khalifah yang adil yang benar-benar mewakili atau mengganti Allah untuk mentadbir bumi adalah penting, supaya hukum-hukum Allah yang hendak dijalankan dalam negara dapat berjalan dengan baik. Dan supaya kehidupan hamba-hamba Allah juga dapat diurus dengan baik.

Terhadap mana-mana yang degil dan melawan perintah, dibenarkan pemerintah menghukum mereka demi menjaga dan mengawal kebaikan dalam masyarakat. Dengan syarat kesalahan itu betul-betul kesalahan yang menyalahi syariat dan diiktiraf oleh syariat. Pemerintah tidak boleh gubal hukum dan undang-undang sendiri dengan membelakangkan dan menyalahi undang-undang dan hukum Allah. Jika pemerintah berbuat demikian, maka ia akan jatuh kepada hukum fasiq atau zalim atau kafir. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang fasiq. " (Al Maidah: 47)

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang zalim." (Al Maidah: 45)

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adaiah orang kafir." (Al Maidah: 44)

Kalau pemerintah sudah tidak taat dengan Allah, maka dalam keadaan itu, rakyat tidak lagi wajib taat kepada pemerintah tetapi dalam hal atau perkara yang bertentangan dengan syariat itu sahaja.

Namun dalam hal-hal yang lain yang tidak menyalahi syariat, rakyat wajib terus taat.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada seorang makhluk dalam soal menderhakai Allah."


Pemerintah yang zalim dan tidak adil ialah pemerintah yang mengaut harta negara untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya. Yang tidak memberi bantuan kepada rakyat yang tidak menyokong mereka atau yang mereka anggap sebagai musuh. Yang menyalahertikan tugas dan tanggung jawab kepimpinan dengan menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan. Yang mengambil kesempatan atas amanah rakyat untuk jadi kaya-raya. Yang bekerja bukan untuk kepentingan rakyat jelata dan negara, jauh sekali untuk agama. Yang menindas, menekan, menganiaya, khianat dan berlaku zalim kepada rakyat. Hukuman bagi pemerintah seperti ini sangat berat di Akhirat nanti.

Di waktu ini, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT. agar negara kita yang dicintai ini akan sentiasa di dalam keberkatan dan rahmat Allah SWT dan kita mendoakan juga agar dilahirkan dan disuburkan pemimpin yang benar-benar bertindak sebagai wakil Allah di dalam kepimpinannya.

Tok Malau ... kurniakan kepada Malaysia ..pemimpin yang adil, pemimpin sejati , pemimpin kebenaran yang menzahirkan kebenaran agamaMu ... Amin!